‘PPBM Temerloh tak buat AGM kerana belum genap setahun ditubuhkan’

‘PPBM Temerloh tak buat AGM kerana belum genap setahun ditubuhkan’

Timbalan ketua PPBM bahagian Temerloh berkata, ketuanya, Amerus Che Onn ialah pengkhianat parti kerana membuat aduan kepada JPPM tanpa merujuk perlembagaan parti dan mendesak Dr Mahathir meletak jawatan.

Mohd-Anuar-Aziz
PETALING JAYA: PPBM Bahagian Temerloh tidak perlu mengadakan mesyuarat agung di peringkat akar umbi kerana penubuhan bahagian itu belum genap setahun, kata timbalan ketuanya, Mohd Anuar Aziz.

Beliau berkata demikian bagi menyangkal dakwaan ketuanya, Amerus Che Onn yang mendakwa mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama PPBM pada minggu lalu tidak sah kerana peringkat cawangan dan bahagian belum mengadakan AGM masing-masing.

“Saya nak menjawab apa yang diperkatakan Amerus yang mendakwa AGM PPBM pusat yang diadakan pada 30 Disember 2017 sebagai tidak sah atas alasan cawangan dan bahagian tidak buat mesyuarat agung.

“Saya nak jelaskan cawangan PPBM memang belum ditubuhkan dan bahagian PPBM juga belum genap setahun sebab ia ditubuhkan pada Julai 2017.

“Jadi, PPBM (bahagian) tidak perlu buat mesyuarat agung. Dalam AGM baru-baru ini, perwakilan G7 (dipilih bahagian) berkecuali tidak perlu hadir, yang wajib hadir G8 (8 jawatan pimpinan tertinggi peringkat bahagian),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM hari ini.

Anuar berkata, perwakilan G7 tidak perlu hadir kerana mereka belum mengadakan AGM di peringkat bahagian dan cawangan.

Selasa lalu, Amerus mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menyiasat AGM parti itu yang didakwanya tidak sah dan melanggar perlembagaan PPBM kerana cawangan dan bahagian sepatutnya mengadakan AGM terlebih dahulu.

Beliau turut mempertikaikan kesahihan senarai perwakilan yang menghadiri AGM peringkat pusat kerana tidak dipilih melalui mesyuarat bahagian, termasuk pemilihan Pemuda serta Wanita di peringkat cawangan dan bahagian.

Sehubungan itu, Amerus menggesa Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan serta-merta kerana tidak ikhlas memperjuangkan kepentingan parti dan ahli.

Mengulas lanjut, Anuar menyifatkan Amerus pengkhianat parti kerana membuat aduan kepada JPPM tanpa merujuk perlembagaan parti dan mendesak pengasas parti melepaskan jawatan.

“Saya kecewa kerana beliau sanggup sarankan pengerusi PPBM letak jawatan. Ini keterlaluan sebab pada saya, ini bukan sahaja menyinggung perasaan ahli PPBM, malah menghina Pakatan Harapan kerana apa yang dia cakap tidak ada asas yang cukup.

“Secara peribadi saya rasa perbuatan beliau pada sidang media baru-baru ini sebagai cubaan mencemarkan imej PPBM. Kami di Temerloh anggap dia pengkhianat parti, malah kami serah kepada kebijaksanaan PPBM pusat untuk buat keputusan (pecat),” katanya.

Anuar turut menyifatkan Amerus sebagai ketua bahagian bermasalah disiplin.

“Memang dia ada masalah disiplin, kami memang menolak kepimpinan dia atas beberapa alasan. Selepas dia dilantik, dia tidak hadir aktiviti parti, tidak beri perhatian, taklimat yang dibuat di pejabat dia juga abaikan.

“Selepas dilantik, dia berubah sebab sebelum ini dia yang tawarkan diri nak jadi ketua bahagian dan berjanji nak buat yang terbaik untuk parti, tapi lepas dilantik dia berubah, tanggungjawab dan aktiviti bahagian dibuat oleh kami.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.