Beraksi ala ‘Superman’, penunggang motosikal dipenjara, didenda

Beraksi ala ‘Superman’, penunggang motosikal dipenjara, didenda

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan mendapatkan lesen selama 2 tahun.

court-gaya-superman
KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik yang menunggang motosikal dengan aksi ala ”Superman”, dihukum penjara 3 minggu dan didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara berbahaya.

Majistret Farah Adlini Mohd Din menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Kamarulnizam Rizal Ravichandran, 32, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu mulai tarikh tangkap iaitu hari ini dan jika gagal membayar denda, boleh dipenjara 6 bulan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan mendapatkan lesen selama 2 tahun.

Mohd Kamarulnizam didakwa menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR secara berbahaya dengan mengangkat kedua-dua kaki lurus ke belakang (ala Superman) yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada 12.35 awal pagi tadi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama 2 tahun.

Berdasarkan fakta kes, ketika Ops Samseng Jalanraya dijalankan, tertuduh didapati menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya sambil beraksi ala “Superman” di Lebuhraya Duke.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah Khazali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan dengan alasan dia baru sahaja bekerja dan ini adalah kesalahan pertamanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.