Bekas setiausaha badan NGO didakwa pecah amanah RM4.58 juta

Bekas setiausaha badan NGO didakwa pecah amanah RM4.58 juta

Beliau hadapi 5 pertuduhan pecah amanah ke atas peruntukan MISDC ketika memegang jawatan setiausaha pusat itu, memasukkan peruntukan RM4.3 juta ke dalam akaun milik syarikat.

sprm-Bekas-setiausaha-badan-NGO-didakwa-pecah-amanah-malaysia
MELAKA: Bekas Setiausaha Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDC) Zamrud Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 42 pertuduhan pecah amanah melibatkan RM4.58 juta antara tahun 2014 dan 2015.

Zamrud, 76, menghadapi 5 pertuduhan pecah amanah ke atas peruntukan MISDC ketika memegang jawatan setiausaha pusat itu dengan memasukkan peruntukan berjumlah RM4.3 juta ke dalam akaun milik syarikat Misdec Resources Sdn Bhd.

Tertuduh juga menghadapi 37 pertuduhan pecah amanah ke atas peruntukan pusat itu dengan membuat pembayaran RM286,136.68 untuk pelbagai sebab antaranya yuran penubuhan syarikat Misdec Resources Sdn Bhd, deposit sewa rumah kedai, perlindungan insurans, ubah suai restoran, pembelian perkakasan dapur restoran, pemasangan pendingin hawa dan pendawaian elektrik.

Anak tertuduh, Hazizul Zamrud, 44, yang bertugas sebagai Pengarah Unit Pentadbiran MISDC turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas 42 pertuduhan bersubahat atas jenayah sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Pejabat MISDC, Lorong 1, Jalan PBB 6, Taman Perindustrian Batu Berendam, antara 19 Mac 2014 hingga 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM500,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan rendah atas alasan Zamrud menghidap asma dan sakit jantung, manakala Hazizul menanggung isteri dan 2 anak masih kecil, selain mereka sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

Hakim Norma Ismail membenarkan ikat jamin RM250,000 bagi setiap tertuduh serta mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 2 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.