
Perseteruan PAS-PH dijangka memecahkan undi pembangkang di banyak kawasan pada PRU14 nanti.
Kecelaruan itu diselang-seli dengan aksi aktivis Gabungan Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos membuktikan dirinya sebagai konduktor gimik tunjuk perasaan paling handal setakat ini.
Berikut kronologi peristiwa penting yang mewarnai parti politik pembangkang sepanjang tahun.
PAS-PH bercakaran
1 Februari – Pemimpin PAS bersama PPBM mengadakan perbincangan bagi menentukan kerjasama melawan BN pada PRU14.
11 Februari – Pengerusi PPBM Dr Mahathir memberi tempoh sebulan kepada PAS untuk membuat keputusan sama ada mahu menyertai Pakatan Harapan atau tidak.
12 Februari – Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan PAS tidak akan menyertai PH selagi gabungan itu disertai DAP dan parti serpihan mereka, Amanah.
19 Mac – PAS Permatang Pauh meluluskan usul memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan PKR. PKR dikatakan tidak menghormati PAS sebagai rakan tahaluf kerana bekerjasama dengan DAP dan Amanah untuk menjejaskan kedudukan PAS.
1 April – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata PAS perlu kekal dalam kerajaan Selangor dan meminta mereka jangan tunduk kepada desakan meninggalkan pentadbirannya.
30 April – Perwakilan PAS di mesyuarat agung tahunan ke-63 di Kedah sebulat suara meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan PKR.
Kesungguhan PAS bagaimanapun dipertikaikan kerana timbul tanda tanya mengenai kedudukan ahli PAS dalam kerajaan Selangor.
15 Mei – Exco Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri mahu mengekalkan ahli PKR sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan walaupun tiada lagi kerjasama politik antara PAS-PKR.
16 Mei – Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menerusi mesyuarat Biro Politik PKR mengarahkan semua lantikan politik dari parti itu di kerajaan Kelantan melepaskan jawatan mereka serta-merta, selaras dengan keputusan PAS membatalkan kerjasama politik.
18 Mei – PAS mengisytiharkan mereka tidak akan keluar daripada kerajaan Selangor walaupun selepas terbatalnya kerjasama politik dengan PKR.
Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan berkata ahli PAS akan kekal di kedudukan masing-masing, terutamanya exco mereka, selama “diperkenankan” Sultan Selangor.
24 Mei – Azmin, yang belum sepenggal menjadi menteri besar, berkata ahli PAS dikekalkan demi kestabilan kerajaan negeri.
Beliau berkata keputusan mengekalkan PAS dalam pentadbirannya selaras dengan mandat yang diberi rakyat kepada ketiga-tiga parti pada PRU13.
7 Julai – Ketua Pengarah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (JPPM) Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata DAP dikehendaki mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru, ekoran pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti pada pemilihan 29 September 2013 tidak sah.
14 Julai – Pakatan Harapan mengumumkan barisan penuh kepimpinan gabungan itu. Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) dilantik ketua umum, Tun Dr Mahathir Mohamad (PPBM) dilantik pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR) dilantik presiden.
16 Ogos – Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berkata semua lantikan politik dari parti itu di kerajaan Kelantan tidak akan melepaskan jawatan mereka seperti yang diarahkan presiden parti.
24 Julai – PH mengemukakan permohonan pendaftarannya, barisan kepimpinan, logo dan perlembagaan kepada JPPM secara atas talian.
27 Ogos – Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata sebuah kongres khas perlu dibentuk segera untuk menyelesaikan isu kerjasama antara PAS dan kerajaan Selangor.
Beliau berkata perbezaan mengenai perkara itu memecahbelahkan parti dan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan penyokong akar umbi.
28 Ogos – Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin membidas kenyataan naib presiden mencadangkan kongres khas dibuat bagi menyelesaikan isu kerjasama dengan PAS.
Afif menggesa mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR diadakan segera memandangkan kali terakhir ia diadakan pada 19 Mei lalu.
29 Ogos – Azmin dan Rafizi dikatakan tidak hadir pada mesyuarat biro politik PKR bagi membincangkan kerjasama dengan PAS.
Kemudian, Pengerusi PH Dr Mahathir mengumumkan majlis presiden sebulat suara memutuskan gabungan pembangkang menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan bersedia menghadapi perlawanan 3 penjuru.
Saman Sarawak Report
21 April – Presiden PAS Abdul Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London susulan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 mendakwa sejumlah RM90 juta dikatakan dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS dalam usaha menarik PAS menyokong BN.
30 Oktober – Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown menamakan bekas presiden Majlis Peguam Datuk S Ambiga sebagai sebahagian daripada pembelaannya dalam saman Hadi.
31 Oktober – Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menggesa peguam Ambiga Sreenevasan mendedahkan apa yang diberitahunya kepada Clare.
1 November – Pemerhati merasakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak saksi berpotensi apabila perbicaraan saman Hadi terhadap Clare bermula di London tahun depan.
4 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menepis dakwaan beliau memberi RM90 juta kepada PAS, menyifatkannnya sebagai mengarut.
PH dan calon PM
12 November – DAP mengadakan pemilihan semula CEC. Perwakilan mengekalkan 90% muka lama dalam CEC dan Lim Kit Siang ternyata masih popular dalam kalangan perwakilan.
15 November – Dr Mahathir memaklumkan tiada perkembangan terbaru tentang status permohonan pendaftaran PH sebagai gabungan parti politik rasmi.
20 November – Dr Mahathir memaklumkan isu dalaman PPBM seperti kegagalan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan isu pemilihan semula CEC DAP punca pendaftaran PH terbantut.
3 Disember – Beberapa komponen PH dilaporkan bersetuju menamakan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah sebagai perdana menteri sementara dan timbalan perdana menteri.
20 Disember – Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, perbincangan mengenai calon yang akan dikemukakan Pakatan Harapan sebagai perdana menteri tidak akan didedahkan kepada umum.
20 Disember – PPBM akan mengadakan mesyuarat agung tahunan pada 30 Disember.
28 Disember – PKR dilaporkan secara prinsip bersetuju dengan cadangan menamakan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah sebagai perdana menteri sementara dan timbalan perdana menteri, sehingga Anwar dibebaskan dan mengambil alih jawatan itu.
29 Disember – Naib Presiden PKR Tian Chua berkata tiada sebarang persetujuan dicapai dalam mesyuarat biro mengenai siapa calon perdana menteri pilihan PKR.
Sementara itu, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PH mesti menamakan calon perdana menteri sebelum PRU14.
Himpunan dan tunjuk perasaan
14 Februari – Selepas aksi bertuala di bangunan pentadbiran kerajaan Selangor sebagai membantah masalah bekalan air tahun lepas, Jamal sekali lagi “menggemparkan” Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas tiba dengan 15 van jenazah, keranda dan berpakaian seperti penggali kubur dan bercangkul.
Beliau menunjuk perasaan kerana mempertikaikan isu dana skim khairat kematian.
18 Februari – PAS menganjurkan himpunan solidariti Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Padang Merbok.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata himpunan yang dihadiri ribuan orang itu bertujuan menunjukkan sokongan orang Islam terhadap RUU itu.
11 Mei – Umno mengadakan himpunan yang dihadiri 140,000 ahli sempena sambutan ulang tahunnya ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil memperingati 7 dekad Umno memperjuangkan bangsa Melayu.
29 September – PAS menganjurkan Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Terengganu yang dikatakan dihadiri lebih 200,000 penyokong PAS.
5 Oktober – Bangunan pentadbiran kerajaan Selangor kecoh apabila Jamal memecahkan 100 botol arak menggunakan tukul besi sebagai membantah penganjuran pesta arak di negeri itu.
14 Oktober – Pakatan Harapan menganjurkan himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya yang dihadiri 25,000 penyokong.
Himpunan berkenaan reaksi terhadap saman sivil terbaru Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berkaitan isu 1MDB.
Di himpunan itu juga, Dr Mahathir didakwa membuat kenyataan yang menghina masyarakat berketurunan Bugis.
13 November – Jamal memacakkan khemah di luar tapak projek pembangunan Eco Majestic di Semenyih dan berkhemah 3 hari, 3 malam bagi mendesak kerajaan Selangor menunaikan janji membina rumah mampu milik di Semenyih di bawah skim Rumah Selangorku.
“Dua penggal memerintah negeri Selangor, mana dia Rumah Selangorku?” katanya kepada wartawan sambil berkain pelekat.
Ketua Pegawai Operasi Eco World Datuk S Rajoo kemudian menjelaskan sebanyak 12,862 unit rumah yang diluluskan kerajaan negeri akan dibina Eco World, di mana 50% terdiri daripada rumah mampu milik berharga RM42,000 hingga RM220,000 di bawah skim Rumah Selangorku.