2 tragedi babit pelajar tahfiz jadi tumpuan media tahun ini

2 tragedi babit pelajar tahfiz jadi tumpuan media tahun ini

Berita kematian Thaqif selepas pembedahan memotong kedua-dua kakinya dan kematian 21 pelajar serta 2 guru tahfiz di Keramat akibat balas dendam mendapat liputan meluas.

dua-kejadian-sekolah-tahfiz
PETALING JAYA: Kematian pelajar tahfiz di Johor, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi dan kebakaran pusat tahfiz di Kuala Lumpur yang mengorbankan 21 pelajar serta 2 guru menggemparkan seluruh negara tahun ini.

Kisah Thaqif menjadi tumpuan media pada April lalu, apabila kedua-dua kaki pelajar tahfiz berusia 11 tahun terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman dan pembekuan darah, sementara tangan kirinya dijadualkan dipotong sebelum kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir pada 26 April.

Pembantu warden berusia 29 tahun di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut, Kota Tinggi yang didakwa merotan Thaqif dengan paip getah di tapak kaki, direman sejak 23 April lalu dan dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah RM20,000 pada 3 Mei lalu kerana polis kekurangan bukti untuk mendakwanya.

Pada 18 Mei, kubur Thaqif digali semula dengan disaksikan ahli keluarga, polis dan wakil mahkamah, bagi membolehkan sampel kakinya diambil untuk tujuan siasatan.

Dua bulan kemudian pada 10 Julai, kerajaan mengumumkan hasil bedah siasat mendapati leptospirosis atau kencing tikus ialah punca Thaqif mendapat jangkitan pada kulit dan darah sebelum meninggal dunia, bukannya trauma daripada pukulan.

Oleh itu, kes kematian anak ke-3 daripada 5 beradik itu dianggap selesai.

23 nyawa terkorban akibat ejek-mengejek

Lima bulan selepas kes Thaqif, negara dikejutkan dengan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, ibu negara yang mengorbankan 21 pelajar dan 2 guru pada 14 September lalu.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan dilaporkan berkata, pelan bangunan yang dikemukakan untuk permohonan kelulusan kebakaran, berbeza dengan reka bentuk sebenar sekolah itu.

Tan Sri Noh Omar berkata, walaupun sekolah itu beroperasi sebelum mendapat sijil perakuan siap dan pematuhan, tetapi pihak pengurusan mungkin tidak dikenakan tindakan disebabkan penderitaan yang mereka alami.

Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood menjelaskan mereka berpindah ke bangunan 3 tingkat itu sejak 7 bulan lalu, memandangkan bangunan asal milik sekolah itu yang terletak berhampiran tempat kejadian, sedang diubah suai.

Dua hari kemudian, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam sidang media tergempar mengumumkan penahanan 7 remaja berusia 11 hingga 18 tahun mendalangi kebakaran itu.

Katanya, balas dendam ialah motif utama suspek membakar pusat tahfiz itu menggunakan petrol dan 2 tong gas disebabkan perselisihan faham akibat ejek-mengejek antara suspek dan segelintir pelajar tahfiz itu beberapa hari sebelum kejadian.

Malah, 6 daripada 7 suspek itu didapati positif dadah jenis ganja dan dipercayai khayal ketika memulakan kebakaran itu, manakala 2 daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

Lebih 2 minggu kemudian pada 2 Oktober lalu, beberapa ibu bapa mangsa mengadu belum menerima sumbangan orang ramai yang dianggarkan mencecah RM1 juta.

Mereka mempersoalkan kenyataan pengetua pusat tahfiz itu, Zahid yang berkata, sekolah akan menyimpan 30% daripada sumbangan dan selebihnya diserahkan kepada keluarga mangsa korban dan cedera.

Bagaimanapun, jurucakap tahfiz berkenaan tampil menyatakan pusat tahfiz itu akan mengagihkan wang tersebut kepada waris mangsa selepas diaudit.

Akhir bulan lalu, seorang remaja 16 tahun yang menghadapi pertuduhan membunuh 21 pelajar dan 2 guru dalam kebakaran itu, dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret Kanak-kanak daripada pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Seorang lagi tertuduh berumur 12 tahun turut dibebas dan dilepaskan daripada dakwaan dadah, selepas laporan Makmal Patologi Hospital Kuala Lumpur mendapati kedua-dua tertuduh bebas pengaruh dadah.

Seorang lagi remaja lelaki berusia 18 tahun, Mohamad Shahrul Nizam Ikmal Shafi-in, turut dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas 2 pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan kerana laporan patologi menunjukkan bacaan negatif.

Menteri: Pelan asal tak sama dengan reka bentuk sekolah tahfiz

Selepas bantah, ibu Thaqif kini redha laporan KKM

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.