
Guru Sekolah Kebangsaan Kampung Luak di Sarawak, Bahari Morshidi sedih dengan nasib seorang guru di Negeri Sembilan, Azizan Manap yang didakwa mencederakan muridnya.

“Kes yang dibawa ke mahkamah ini kita rasa sedih kerana ia membawa kesan yang besar. Selepas ini macam mana cikgu nak tegur murid-murid.
“Dah tak berani…mengajar sahaja, bukan kita mendidik,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
Kaunselor di sekolah Miri itu berkata, biasanya kes disiplin akan diselesaikan secara dalaman melalui perbincangan antara guru dan ibu bapa.
Bahari antara 200 orang yang kebanyakannya guru hadir memberi sokongan kepada Azizan yang didakwa sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri Muhammad Zainul Danish Zaridin.
Mengikut kertas pertuduhan, Azizan didakwa melakukan kesalahan itu di depan tapak perhimpunan Sekolah Kebangsaan Taman Semarak di Nilai kira-kira 7 pagi, pada 6 April lalu.
Mahkamah Majistret Seremban bagaimanapun menarik balik pendakwaan terhadap Azizan dan menggugurkan tuduhan memukul muridnya itu.
Majistret Mohd Zaki Abdul Rahman turut mengarahkan wang ikat jamin RM500 yang ditetapkan untuk pembebasan Azizan sebelum ini dikembalikan.

Paezah Hamzah yang mengajar di Seremban, Negeri Sembilan pula mempersoalkan jika mereka perlu membiarkan pelajar terus membuat kesilapan tanpa mengambil sebarang tindakan.
Katanya, sikap pelajar sekarang amat berbeza dengan zaman dahulu.
“Jadi, tugas guru adalah untuk membentuk pelajar dan kita nak mereka menjadi masyarakat yang baik.
“Dengarnya pelajar ini dah banyak kali buat salah, takkan guru nak pejam mata mereka buat kesalahan,” kata guru Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar itu yang menyokong tindakan Azizan.
Pesara guru, Mohamad Musip berkata, ibu bapa zaman dahulu tidak menghalang guru menghukum anak mereka asalkan “tidak patah riuk”.
Katanya, guru zaman ini bagaimanapun berdepan cabaran besar untuk menangani cara berfikir dan bertindak ibu bapa serta pelajar.
“Mendidik juga tak semestinya menerusi kata-kata,” katanya.