Ahli Parlimen Cheras kelirukan rakyat isu tanah di KL, kata Tengku Adnan

Ahli Parlimen Cheras kelirukan rakyat isu tanah di KL, kata Tengku Adnan

Beliau berkata Tan sepatutnya hargai usaha kerajaan yang sentiasa berusaha pastikan golongan bandar kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Tan-Kok-Wai
KUALA LUMPUR:
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas tindakan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai yang cuba mengelirukan rakyat dalam isu jualan tanah dan pembangunan rumah mampu milik di kawasan Kuala Lumpur.

Beliau berkata daripada jumlah tanah dijual, sebanyak 43 ditandatangani dengan 28 bidang tanah daripadanya adalah untuk pembangunan Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) dan selebihnya bagi pembangunan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

“Kawasan yang dijual untuk pembangunan ini melibatkan rizab pusat penjaja yang tidak berdaya saing, penempatan setinggan, kawasan lapang perumahan awam, rizab kawasan lapang dan kuarters kakitangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Adnan berkata jumlah Rumawip yang dibangunkan kini melebihi 50,000 unit.

Tan baru-baru ini dilaporkan mendakwa DBKL menjual 45 bidang tanah tanpa tender terbuka sejak Tengku Adnan menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Tengku Adnan berkata harga jualan perumahan yang ditawarkan adalah berdasarkan harga semasa dan ada yang diberi diskaun melalui konsep subsidi silang, dengan pemaju kemudian terpaksa menjual rumah dengan harga RM42,000, RM188,000, RM198,000 dan RM230,000.

“Nilai tersebut memberi keuntungan kepada rakyat selaku pembeli yang dapat menikmati harga rumah lebih murah daripada nilai pasaran sebenar,” katanya.

Beliau berkata Tan sepatutnya menghargai usaha kerajaan yang sentiasa berusaha memastikan golongan bandar kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Sekiranya Tan berpendapat penjualan tanah berkenaan dilaksanakan atas kepentingan peribadi atau atas rasuah, Tengku Adnan mencabar ahli parlimen itu membuat tuduhan terbabit secara jelas agar beliau dapat mengambil tindakan undang-undang atau Tan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkaitan salah guna kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.