Tukang masak kekal 6 tahun penjara simpan bahan IS

Tukang masak kekal 6 tahun penjara simpan bahan IS

Tertuduh didakwa memberi sokongan kepada IS melalui aplikasi telegram dalam kumpulan perbualan 'Gagak Hitam' atas nama 'Zam Rosden Di'.

jail-isis
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 6 tahun terhadap seorang bekas pembantu tukang masak kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dan memiliki gambar serta video berkaitan kumpulan itu, tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan terhadap Rosmizam Che Din selepas menolak rayuan pihak pendakwaan selaku perayu terhadap hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi pada 12 Julai lepas.

Dua panel hakim iaitu Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim yang turut bersidang hari ini mendapati rayuan pihak pendakwaan tidak mempunyai merit.

Keputusan sebulat suara itu juga mengekalkan keputusan dibuat hakim Mahkamah Tinggi Datuk Sofian Abd Razak, iaitu penjara 6 tahun atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dan penjara 2 tahun kerana memiliki gambar serta video kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 6 tahun kerana mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkapan pada 15 Julai 2016.

Rosmizam selaku responden didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu melalui aplikasi telegram dalam kumpulan perbualan ‘Gagak Hitam’ atas nama ‘Zam Rosden Di’ dengan menggunakan nombor telefon miliknya di sebuah rumah di Jalan USJ 6/3B, Subang Jaya pada pukul 12.33 tengah malam, 30 Mac 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda atau boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Rosmizam juga dituduh memiliki item yang berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu 34 keping gambar dan 2 video di dalam telefon bimbit miliknya diparkir aras LG, Pasaraya Da’Men, Persiaran Subang Permai, Subang Jaya, pukul 1.30 tengah hari pada 15 Julai 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item berkenaan.

Rosmizam yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah mengekalkan hukuman penjara terhadapnya kerana dia telah insaf selain ingin memulakan hidup baharu selepas dibebaskan kelak.

Dia yang masih bujang serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau dijangka dibebaskan pada 2020.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azmi Mashud.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.