SPRM gesa siasat peguam selepas dokumen bocor kaitkan pemimpin Johor

SPRM gesa siasat peguam selepas dokumen bocor kaitkan pemimpin Johor

Dokumen lebih 100 muka surat dilabel 'rahsia' dan menurut SPRM, hanya diserahkan kepada peguam bela Abdul Latif Bandi.

Selva-Mookiah_SPRM
PETALING JAYA: Seorang peguam panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa polis menyiasat pihak yang membocorkan dokumen rakaman siasatan skandal melibatkan bekas exco perumahan Johor.

Datuk Selva Mookiah yang merupakan sebahagian Panel Penasihat Operasi SPRM berkata siasatan juga perlu tertumpu kepada kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, yang dokumen lebih 100 muka surat itu yang dicap “Rahsia” sebelum ini hanya diberikan kepada peguambela.

“Sekiranya terdapat peguam yang terlibat, bukan sahaja peguam tertuduh, tetapi mana-mana peguam yang terlibat harus diambil tindakan bagi memastikan sistem keadilan dipelihara,” katanya kepada FMT.

Semalam, Azam berkata SPRM memandang serius kebocoran dokumen itu yang dilihat mendedahkan tuduhan salah laku melibatkan pemimpin kanan politik Johor.

Kenyataan rakaman percakapan itu diserahkan kepada peguam bela berdasarkan undang-undang sedia ada bagi tujuan pembelaan selepas suspek dituduh.

Azam memberitahu FMT pihaknya sudah membuat laporan kepada pihak polis bagi menyiasat kebocoran berkenaan.

Sebuah laman web memuat naik kandungan penuh dokumen berkenaan siasatan terhadap bekas exco perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Abdul Latif Bandi.

Latif disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, dalam skandal melibatkan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera melibatkan beberapa pemaju di Johor.

April lalu, Latif didakwa atas 33 pertuduhan bersuhabat bersama seorang juru runding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.

SPRM sebelum ini menyita 45 akaun bank berjumlah RM15.5 juta, di samping merampas 26 kenderaan dan motosikal mewah serta dokumen.

Selva berkata kebocoran dokumen itu menjejaskan sistem kehakiman negara memandangkan suatu persepsi sudah diwujudkan sebelum keadilan ditentukan.

“Peguam bela dan pendakwa raya adalah pegawai mahkamah, mereka juga wajib untuk ikut peraturan di mahkamah.

“Berdasarkan dokumen yang bocor itu, sesiapa sahaja boleh katakan apa-apa sahaja kepada pihak berkuasa, tidak semestinya kenyataan yang diberikan itu adalah benar. Jadi tidak adillah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.