Peguam bekas exco gesa polis, SPRM siasat dokumen bocor

Peguam bekas exco gesa polis, SPRM siasat dokumen bocor

Hasnal Rezua Merican yang mewakili bekas exco Johor, Abdul Latif Bandi berkata, tiada perkara yang hendak disembunyikan mereka mengenai kebocoran dokumen kenyataan tertuduh dalam kes rasuah hartanah.

Hasnal-Rezua-Merican-sprm-court-gavel
PETALING JAYA: Peguam bekas exco perumahan dan kerajaan tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi hari ini mengalu-alukan polis menyiasat kebocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan tertuduh dalam kes rasuah hartanah melibatkan anak guamnya, di Internet.

Hasnal Rezua Merican berkata, tiada perkara yang hendak disembunyikan mereka mengenai kebocoran itu.

“Tidak ada apa nak sembunyi. Kita mengalu-alukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat semua pihak terlibat dalam perbicaraan ini (bagi) mengetahui daripada mana punca kebocoran maklumat.

“Tetapi, nak tegaskan maklumat bocor itu bukan daripada anak guam kita, Datuk Latif. Terpulang pada SPRM sama ada nak hadkan siasatan kepada peguam Amir Shariffuddin (tertuduh) atau peguam-peguam Latif. Kita tidak ada masalah,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata, Latif melantik 9 peguam termasuk dirinya untuk mewakilinya.

Ia selepas sebuah blog memuat naik lebih 140 muka surat dokumen siasatan SPRM berserta jadual transaksi wang yang didakwa diberikan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kelmarin.

Semalam, Berita Harian melaporkan perunding hartanah yang juga tertuduh dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Latif membuat laporan polis berhubung kebocoran dokumen siasatan SPRM terhadapnya yang tersebar sejak kelmarin.

Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, membuat laporan di Balai Polis Sentral pada 3.02 petang semalam, selepas mendapat tahu dokumen siasatan berkaitan dirinya tersebar dalam sebuah laman blog dan Facebook pada 11.36 pagi Rabu lalu.

Dia menggesa polis menyiasat pemilik blog dan Facebook itu yang didakwa sengaja menjatuhkan maruahnya dengan mendedahkan dokuman berbeza daripada kenyataannya kepada SPRM kerana ada beberapa halaman tidak disertakan dan satu jadual pembayaran itu tiada kaitan langsung dengan siasatan ke atasnya.

Mengulas lanjut, Hasnal berkata, maklumat bocor itu ialah kenyataan Amir dan ia tidak boleh digunakan lagi kerana sudah didedahkan kepada umum dan tertuduh sendiri menyangkal maklumat bocor itu.

Pada 14 Jun lalu, Amir bersama Latif dan anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 21 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM35.78 juta.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Pada 19 April lalu, Latif dan Amir mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta.

Latif disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 serta AMLA 2001 dalam skandal melibatkan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera melibatkan beberapa pemaju di Johor.

SPRM sebelum ini menyita 45 akaun bank berjumlah RM15.5 juta, di samping merampas 26 kenderaan dan motosikal mewah serta dokumen.

SPRM lapor polis selepas dokumen siasatan kes bekas exco Johor bocor

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.