‘Kenyataan transgender pakar motivasi bukan pandangan kerajaan’

‘Kenyataan transgender pakar motivasi bukan pandangan kerajaan’

Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan berkata, kenyataan Robiah K Hamzah mengenai transgender ialah pandangan peribadinya.

Robiah-K-Hamzah_lgbt_600
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan hari ini menafikan kenyataan pakar motivasi dan kaunseling keluarga, Dr Robiah K Hamzah mengenai transgender dan pesakit HIV dalam program Hari AIDS Sedunia anjuran agensi itu, ialah pendirian kerajaan.

“Kenyataan Robiah mengenai transgender dalam forum tersebut merupakan pandangan peribadi beliau dari sudut seorang pakar motivasi dan pengalaman ketika memberi kaunseling kepada pesakit HIV.

“Pendapat beliau tidak mewakili pandangan Kementerian Kesihatan,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr Zainudin Abdul Wahab dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan menyediakan program pencegahan dan rawatan untuk HIV dan AIDS tanpa sebarang diskriminasi melalui Pelan Strategik Kebangsaan Akhiri AIDS 2016 hingga 2030.

Selasa lalu, Pertubuhan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia atau SEED Foundation yang ditubuhkan untuk membantu pesakit HIV dan komuniti dipinggirkan, membidas Robiah membuat “komen sangat diskriminasi” mengenai golongan terpinggir yang dijangkiti HIV.

Menurutnya, kenyataan itu tidak benar sama sekali dan membuktikan pakar motivasi itu langsung tidak memahami subjek berkenaan.

Antara kenyataan didakwa dibuat Robiah ialah “Pergi tengok calon-calon HIV, betapa sengsara mereka melalui kehidupan”.

SEED turut mendakwa Robiah berkata: “Mak Nyah kenapa nak tukar fitrah? Siapa nak mandikan kamu bila kamu mati? Mak Nyah mati sebagai lelaki”.

Robiah didakwa membuat kenyataan tidak sensitif itu di forum “Jangan Cuba-cuba” sempena Hari AIDS Sedunia peringkat Wilayah Persekutuan KL dan Putrajaya anjuran jabatan itu bersama Pejabat Kesihatan Daerah Titiwangsa di Pusat Beli-belah Aeon AU2 di Setiawangsa, pada 25 November lalu.

Forum itu bertujuan memberi kesedaran mengenai faktor dan kesan HIV/Aids kepada kesihatan serta peranan ibu bapa dalam mengekang pembabitan remaja berkaitan aktiviti berisiko itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.