Mahkamah: MAB, tentera tidak bertanggungjawab atas kehilangan MH370

Mahkamah: MAB, tentera tidak bertanggungjawab atas kehilangan MH370

Keputusan Mahkamah Persekutuan menyebabkan 5 waris mangsa tragedi itu hanya boleh mengambil tindakan terhadap MAS, Jabatan Penerbangan Awam dan kerajaan.

malaysia-airlines-mh370-gavel
PUTRAJAYA: Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan tentera udara tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kehilangan pesawat MH370 yang hilang 3 tahun lalu.

Perkembangan itu menyusuli keputusan panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Raus Sharif, yang membuang rayuan 5 waris yang mahu memasukkan MAB dan tentera udara dalam saman mereka.

Raus berkata para hakim mengesahkan pendapat Mahkamah Rayuan selepas mempertimbangkan hujah pihak berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan waris kepada 3 mangsa tragedi itu untuk memasukkan semula Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dalam tuntutan mereka.

Keputusan hari ini akan memberi kesan ke atas 11 kes lain di Mahkamah Tinggi, yang memasukkan MAB dan tentera udara dalam tuntutan mereka.

FMT difahamkan 18 tuntutan sudah diselesaikan di luar mahkamah.

Tan Ah Meng, 46, dan isteri, Chuang Hsiu Ling @ Cindy Chuang, 45, dan anak sulung pasangan itu, Tan Wei Chew, 19, antara 239 penumpang dan anak kapal MH370 apabila pesawat itu hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Anak kepada pasangan itu, Wei Hong, Wei Jie, ibu bapa Tan, Tan Hun Khong dan Lai Chew Clai, dan bapa Chuang, Hung Chien, memfailkan tuntutan itu.

Mereka menamakan Malaysia Airline System Bhd (MAS), penggantinya Malaysian Airlines Bhd (MAB), ketua pengarah DCA, panglima tentera udara, dan kerajaan sebagai defendan.

MAB, DCA dan tentera udara memohon untuk membatalkan saman terhadap mereka di Mahkamah Tinggi.

Pada 7 Oktober tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengeluarkan MAB sebagai defendan daripada tuntutan mahkamah itu.

Satu lagi panel hakim pada 27 Oktober lepas juga membenarkan rayuan DCA yang memohon dikeluarkan tetapi mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi bahawa panglima tentera udara dikecualikan sebagai defenden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.