
Beliau berkata, perlu dipastikan sama ada ia kes terpencil atau membabitkan sindiket besar yang menggunakan pendatang asing tanpa izin untuk kegiatan pelacuran.
“Ini menunjukkan betapa lumayannya industri pelacuran di negara kita yang perlu dibendung dan saya mengalu-alukan tindakan Jabatan Imigresen menubuhkan jawantankuasa khas untuk menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut,” katanya merujuk jawatankuasa khas menyiasat kes itu yang ditubuhkan Jabatan Imigresen.
Nur Jazlan berkata demikian selepas menghadiri program sarapan pagi bersama rakyat di Warung Pak Lah, Dataran Utama, Taman Kempas, hari ini.
Beliau yakin dengan adanya jawatankuasa khas itu, Jabatan Imigresen dapat menyelesaikan kes itu secepat mungkin.
Dalam operasi Jabatan Imigresen di Kota Kinabalu 2 hari lepas, 17 wanita warga Filipina berusia belasan tahun sehingga 30-an, dipercayai menjadi mangsa sindiket pelacuran yang turut didalangi 3 lelaki tempatan, turut ditahan.
Mengulas sistem Tracking Refugees Information System (Tris), Nur Jazlan berkata, kerajaan sedang mengkaji hala tuju sistem berkenaan selepas tempoh percubaan Program Proof of Concept (POC) tamat pada 30 September lepas.
“Bagi program POC, sebanyak 3,500 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendaftar. Nampak berjaya dari segi sistem, dari segi proses sudah berjaya, cuma kementerian sedang kaji hala tuju untuk meluaskan program ini,” kata Nur Jazlan.
Menurut beliau, sistem Tris bertujuan mengumpul data, mengenal pasti dan mengesahkan penerima kad UNHCR, selain data berkenaan boleh digunakan Jabatan Imigresen dan polis.