Henti eksport ikan, sayuran untuk stabilkan harga, seru persatuan pengguna

Henti eksport ikan, sayuran untuk stabilkan harga, seru persatuan pengguna

Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata langkah itu perlu diambil kerana musim tengkujuh akan menyebabkan kurangnya bekalan sayuran dan ikan serta kenaikan harga.

Mohamed-Idris_eksport-ikan_600
PETALING JAYA:
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menyeru kerajaan menghentikan eksport ikan dan sayuran ke negara luar bagi memenuhi permintaan tempatan sehinggalah musim tengkujuh berakhir.

Presiden S M Mohamed Idris dalam kenyataan merujuk kepada laporan The Straits Times 15 November lepas yang mengatakan musim tengkujuh yang bermula sejak beberapa minggu lepas akan menyebabkan kurangnya bekalan sayuran dan ikan serta kenaikan harga.

Menurut CAP, harga daun bawang paling banyak meningkat iaitu daripada RM3 kepada RM12 (300%), manakala harga daun sup meningkat daripada RM3 kepada RM11 (265%).

Beberapa sayuran lain seperti bendi, kacang panjang, sawi, terung, dan tomato juga mencatat kenaikan harga sebanyak 40% sehingga 150%.

Akibat kenaikan mendadak itu, CAP juga menyeru Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengambil langkah segera menurunkan harga sayuran, buah-buahan, dan ikan yang naik sejak minggu lepas.

Menurut CAP, mereka yang berpendapatan sederhana akan banyak terbeban dengan kenaikan harga tersebut dan KPDNKK perlu siasat kenaikan harga yang tidak sejajar dengan kenaikan gaji yang perlahan.

Minggu lepas, akhbar The Straits Times melaporkan harga sayur akan mengalami kenaikan kerana pengeluaran dijangka berkurangan pada musim hujan.

Laporan tersebut memetik Setiausaha Persatuan Nelayan Pantai Remis Jeanne Khor yang berkata, musim hujan boleh menjejaskan hasil tangkapan nelayan sebanyak 50% hingga 60% lalu boleh menyebabkan harga ikan tenggiri meningkat antara RM5 dan RM10 1kg, dan sardin daripada RM4 hingga RM7 1kg.

Jadual kenaikan harga sayuran oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Jadual kenaikan harga sayuran oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.