SPRM mohon bantuan UK siasat FIC beli hotel di London

SPRM mohon bantuan UK siasat FIC beli hotel di London

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad berkata, permohonan itu akan dilakukan menerusi Jabatan Peguam Negara.

Dzulkifli-Ahmad-fic-hotel-uk
KOTA SAMARAHAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan Mutual Legal Assistance (MLA) dari United Kingdom berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, permohonan tersebut akan dilakukan menerusi Jabatan Peguam Negara.

“Berkenaan pembelian hotel di London, mungkin itu mengambil sedikit masa, malah kita juga telah berkomunikasi untuk dapatkan dan membuat permohonan bantuan MLA dengan pihak United Kingdom.

“Kita akan buat permohonan melalui Jabatan Peguam Negara dan insya Allah permohonan tersebut kita akan buat untuk dapatkan keterangan-keterangan yang berada di London, selepas itu barulah kita boleh lengkapkan siasatan melibatkan pembelian hotel di United Kingdom,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa (Pemarah) Borneo 3.0 di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) hari ini.

Mengulas pembelian sebuah hotel oleh FIC di Kuching, Dzulkifli berkata, siasatan kes itu berada di peringkat akhir.

Sementara itu, berkenaan senarai kementerian paling banyak menerima aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa, Dzulkifli berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Itu dalam proses penambahbaikan, kita akan melihat terlebih dahulu perkara tersebut.

“Saya akan berbincang dengan ketua setiausaha negara tentang perkara itu, barulah kita akan mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.