
Akhbar kewangan The Edge membandingkan pendapatan isi rumah dan data perbelanjaan untuk kumpulan 20% tertinggi (T20) dan kumpulan berpendapatan miskin di bawah kategori B40 untuk Bumiputera, India, dan Cina pada 2014 dan 2016.
Ia mendapati jurang pendapatan kekal tidak berubah dalam kalangan Bumiputera dan mengecil dalam kalangan India tetapi meningkat dalam kalangan Cina.
“Untuk setiap RM1 yang diperoleh oleh Bumiputera kumpulan B40 (pada 2014), mereka yang berada dalam kumpulan T20 memperoleh RM5.30. Jurang itu kekal sama pada 2016. B40 ialah isi rumah yang berpendapatan RM2,629 ke bawah.
“Dalam kalangan India pada tempoh sama, jurang pendapatan itu mengecil daripada RM5.50 kepada RM5.20, dan adalah paling kecil dalam kalangan semua kumpulan etnik,” katanya.
Tetapi dalam kalangan Cina, jurang pendapatan meningkat daripada RM5.80 pada 2014 kepada RM6 pada 2016..
“Ia satu-satunya kumpulan etnik yang mengalami jurang pendapatan yang semakin besar, paling besar berbanding kumpulan etnik lain, antara 2014 dan 2016.”
The Edge yang memetik data tahun 2014 daripada Unit Perancangan Ekonomi, berkata, 44.7% daripada kumpulan B40 adalah isi rumah Bumiputera, diikuti oleh India (38.71%) dan Cina (28.02%).
Pada Julai, penasihat cukai Kang Beng Hoe memberitahu FMT, perbezaan pendapatan di Malaysia hanya akan menjadi semakin buruk melainkan kerajaan mengurangkan jurang pendapatan antara kaya dan miskin.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa pendapatan per kapita Malaysia telah meningkat sejak 2010, daripada RM28,000 kepada RM36,000 setahun.
Merujuk kepada koefisien Gini, iaitu satu cara mengukur jurang pendapatan antara kaya dan miskin, Kang berkata, Malaysia adalah antara tertinggi di Asia.
Pada 2012, laporan media berkata Malaysia adalah negara ke-39 paling tidak sama rata daripada 159 negara dan berada di kedudukan ke-3 di Asia.