
Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi membenarkan kerajaan membatalkan tuntutan itu atas dasar dakwaan berkenaan pembayaran RM9.5 juta itu hanyalah “dakwaan kosong”.
“Beliau masih belum memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya,” katanya dalam penghakimannya yang diperoleh media.
Azizah juga memerintah Anwar membayar kerajaan kos sebanyak RM10,000.
Shafee yang hadir pada pengumuman keputusan itu berkata dakwaan mengatakan beliau mengambil RM9.5 juta adalah “mengarut”.
“Saya tidak pernah dibayar RM9.5 juta untuk mendakwa kes Anwar,” katanya.

Sementara itu, peguam Anwar, N Surendran berkata beliau menerima arahan untuk memfailkan rayuan serta merta terhadap keputusan hari ini.
“Kami sangat kecewa dengan keputusan hari ini dan kami akan pertikaikannya di Mahkamah Rayuan,” katanya.
Semasa pembicaraan, peguam Anwar berhujah keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 untuk menyabitnya bersalah kerana meliwat Saiful Bukhari Azlan dilakukan dengan cara yang tidak berperlembagaan.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015.
Peguam berhujah Anwar dinafikan pembicaraan yang adil bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.
Ia juga dihujahkan bahawa perbicaraan adil sepatutnya bermaksud hak untuk mendakwa harus dilakukan oleh seorang yang bebas, bukannya oleh seseorang yang mempunyai kepentingan peribadi.
Dalam kes ini, mahkamah diberitahu terdapat satu dakwaan tidak disangkal, iaitu dakwaan berkenaan RM9.5 juta dibayar secara 2 kali oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, seorang saksi material dalam kes liwat Anwar.
Mereka berkata Shafee sebagai pendakwa raya mempunyai kepentingan kewangan dan bukanlah seorang pendakwa yang adil.
Kerajaan beri lesen kepada Shafee untuk dijadikan pendakwa raya ad hoc bagi menjalankan rayuan yang membawa kepada mahkamah mengenepikan pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi pada 2012.
Jabatan Peguam Negara berhujah pembatalan permohonan patut dibenarkan kerana tuntutan Anwar adalah untuk mengenepikan sabitan jenayah.
Mereka berkata Anwar telah memfailkan satu lagi tuntutan untuk mengenepikan sabitan liwat itu, atas dasar yang penghakiman Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan diperoleh secara fraud.