
Adun Kuang, Datuk Shukor Idrus berkata memorandum itu dibuat susulan keputusan Speaker Hannah Yeoh menolak usul tergempar supaya Dewan Undangan Negeri Selangor membahaskan isu itu.
“Kita merasa kecewa dengan tindakan Speaker yang menolak usul yang saya bawa yang mana usul ini saya kira cukup penting,” katanya.
Shukor berkata isu itu melibatkan “ketua negeri kita”, merujuk kerabat diraja Selangor yang mempunyai asal usul Bugis.
“Esok kita sendiri akan menghantar memorandum kepada Tuanku untuk menyatakan kita telah pun menzahirkan suatu sokongan kepada Tuanku Sultan tetapi ditolak begitu mentah oleh DUN,” katanya.
Semalam, DUN Selangor menolak usul tergempar daripada Adun BN yang mahu membahaskan isu berkaitan ucapan Dr Mahathir yang didakwa menghina orang berketurunan Bugis.
Usul itu mahu kerajaan Selangor melarang Dr Mahathir menggunakan mana-mana premis milik kerajaan negeri.
Speaker Hannah Yeoh menolak usul itu bagi memberi keutamaan kepada perbahasan Belanjawan Selangor 2018 yang perlu dibahas dan diluluskan dalam tempoh 4 hari.
“Saya menggunakan Peraturan 17 yang membenarkan usul ini ditolak dalam kamar oleh Speaker,” kata Hannah.
Shukor tidak menolak memorandum tersebut sebagai usaha meminta campurtangan Sultan Selangor untuk menghalang Dr Mahathir menggunakan kemudahan kerajaan negeri.
“Itu tidak semestinya tidak boleh,” tambahnya. “Kita nak menyatakan sokongan dan perlu ada hukuman kepada orang celupar yang mengatakan sesuatu kaum.”
Dr Mahathir pada perhimpunan anjuran Pakatan Harapan di Petaling Jaya pada 14 Oktober menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “keturunan lanun bugis”.
Ia mengundang respon Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu Dr Mahathir disiasat di bawah Akta Hasutan.
Dr Mahathir bagaimanapun menjelaskan beliau tidak bermaksud menyerang orang Bugis keseluruhannya.
“Saya tidak pernah kata orang Bugis semuanya lanun. Yang saya kata ialah Najib mungkin berasal dari lanun Bugis,” katanya.