Menteri: Penggabungan boleh kurangkan caj hospital swasta

Menteri: Penggabungan boleh kurangkan caj hospital swasta

Menteri kesihatan berkata, kerajaan sedang berbincang dengan hospital swasta untuk mengurangkan kos rawatan yang tinggi.

subra_hospital_6001
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan sedang berbincang dengan hospital swasta untuk memperkenalkan konsep penggabungan dalam usaha mengurangkan kos penjagaan kesihatan swasta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kaedah penggabungan ini sudah dijalankan di negara lain dan kementeriannya sedang mengkaji pengalaman negara tersebut.

Di bawah model penggabungan itu, penyedia dan kemudahan penjagaan kesihatan akan mendapat satu pembayaran untuk semua perkhidmatan yang disediakan semasa merawat seorang pesakit yang menjalani rawatan tertentu.

“Jika rundingan antara kementerian dan hospital swasta berjaya, kami mungkin dapat memperluaskan pengawalan itu yang kini terhad kepada yuran rundingan untuk profesional bagi menampung entiti rawatan serta menjadikannya lebih holistik dan terkawal,” katanya menjawab soalan tambahan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) di Dewan Rakyat.

Dr Subramaniam (BN-Segamat) berkata, kerajaan menyedari bayaran rawatan perubatan tinggi yang dikenakan hospital swasta, dan kementeriannya memulakan kajian untuk mengumpul maklumat mengenai kos penjagaan kesihatan di hospital swasta.

Wong juga bertanya jika Kementerian Kesihatan mampu menyelesaikan kajian itu dalam tempoh 6 bulan dan selepas itu memulakan rundingan dengan hospital swasta untuk mengenakan bayaran munasabah.

Di bawah Jadual ke-13 Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006, kementerian itu boleh menetapkan harga siling ke atas yuran rundingan untuk melindungi pesakit daripada dikenakan caj profesional terlalu tinggi.

Dr Subramaniam berkata, sebelum 2006, tiada kawalan ke atas kos rawatan di hospital swasta, termasuk yuran rundingan.

Sejak 2006, kerajaan melalui Jadual ke-13 mula mengawal yuran profesional.

Bagaimanapun, katanya, perkara lain seperti caj untuk wad dan perkhidmatan lain masih dikenakan kos berbeza dan pesakit yang perlu menggunakan kebijaksanaan mereka.

“Kementerian dari semasa ke semasa memperhalusi kos rundingan, tetapi memberi kebebasan kepada hospital swasta untuk caj lain seperti wad, makanan dan ubat.

“Apabila pesakit dimasukkan ke hospital, tidak diketahui berapa lama mereka akan berada di sana. Ada kes di mana penyakit itu semakin teruk sehingga terpaksa dirujuk ke unit rawatan rapi (ICU).

“Apabila seseorang itu dimasukkan ke ICU, sudah tentu kosnya meningkat. Ramai pesakit, semasa membuat perancangan kewangan, tidak fikir jika mereka mampu membayar kos tambahan tersebut,” kata Dr Subramaniam.

Terdahulu, Wong bertanyakan langkah penyelesaian untuk kos rawatan tinggi di hospital swasta yang mungkin menyebabkan pesakit terpaksa dipindahkan ke hospital kerajaan, selepas beberapa hari dirawat di hospital swasta.

Wong berkata, soalannya mengenai kos tinggi di ICU hospital swasta berdasarkan pengalaman sebenar sebuah keluarga dari Subang Jaya.

Katanya, pesakit itu menjalani rawatan di ICU selama 2 bulan setengah dengan bayaran mencecah RM450,000.

Malangnya, Wong berkata, mangsa meninggal dunia walaupun keluarga berbelanja begitu banyak wang untuk rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.