Rayuan Anwar ke atas Akta Majlis Keselamatan Negara ditolak

Rayuan Anwar ke atas Akta Majlis Keselamatan Negara ditolak

Mahkamah Rayuan berkata kes itu sepatutnya dibawa ke Mahkamah Persekutuan kerana Anwara mahu mencabar kompetensi Parlimen meluluskan undang-undang itu.

anwar-nsc-act
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengisytiharkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai tidak berperlembagaan.

Panel 3 hakim dipengerusikan Rohana Yusuf berkata, Anwar sepatutnya terus ke Mahkamah Persekutuan kerana beliau mahu mencabar kompetensi Parlimen meluluskan undang-undang itu.

Perintah itu mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Oktober lalu.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuang kes itu kerana Mahkamah Tinggi tiada kuasa untuk mendengar perkara itu.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar hari ini berhujah Akta MKN tidak berperlembagaan atas 2 sebab.

Katamya, akta itu dijadikan undang-undang bawah Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan.

Anwar berkata, Perkara itu adalah hasil daripada Seksyen 12 daripada Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983, Seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994.

“Ianya terus memansuhkan keperluan persetujuan diraja. Pindaan itu tidak berperlembagaan kerana melanggar rangka asas Perlembagaan,” katanya.

Keduanya, beliau berkata Akta MKN itu adalah undang-undang keselamatan dan harus mematuhi Perkara 149.

“Ianya tidak patuhi Perkara 149, maka ianya tidak berperlembagaan,” tambah Sri Ram.

Peguam persekutuan Amarjeet Singh berkata Anwar patut memfailkan hal itu bawah Perkara 4(3) Perlembagaan.

Katanya, perayu patut memperoleh kebenaran terlebih dahulu daripada Mahkamah Persekutuan untuk merit kesnya didengar.

Peguam Latheefa Koya yang hadir bersama Sri Ram berkata, rayuan akan difailkan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 2 Ogos tahun lepas, Anwar memfailkan tuntutan untuk menangguh pelaksanaan Akta MKN atas sebab ianya tidak berperlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.