
Katanya, beliau menerima panggilan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada 3.34 pagi untuk memaklumkan keadaan banjir di negeri itu sebelum mengarahkan MKN menggerakkan agensi terlibat.
“Pada 8.30 pagi ini, mereka telah menggerakkan unit berkenaan untuk membantu mangsa banjir,” katanya sebelum menghadiri program Ekspresi Negaraku di sini.
Zahid tiba di Sarawak malam tadi dan dijangka menghadiri satu lagi acara di Ibu Pejabat Polis Sarawak di sini, sebelum mengakhiri lawatannya di negeri ini.
Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan anggota dan asetnya ke beberapa kawasan di Pulau Pinang bagi membantu mangsa banjir.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, bantuan digerakkan ke Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah, Zon Barat Daya dan Zon Timur Laut.
“Sejak awal lagi saya telah arah ATM membantu mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang,” katanya menerusi facebook rasminya hari ini.
Hishammuddin berkata, setakat ini, ATM sudah memindahkan penduduk terlibat ke kawasan selamat, membersihkan laluan terhalang serta membantu operasi pembersihan di kawasan terjejas.
“InsyaAllah, dalam keadaan ini, ATM akan terus bantu apa sahaja yang terdaya. Marilah kita sama-sama doakan semoga keadaan di sana segera pulih seperti sedia kala,” katanya.
Hujan lebat yang melanda Pulau Pinang sejak semalam menyebabkan hampir 2,000 penduduk, 104 pesakit dan 4 bayi baru lahir di Hospital Pulau Pinang (HPP) terpaksa dipindahkan.
Turut dilaporkan berlaku 2 kematian melibatkan seorang lelaki berusia 75 tahun yang ditemui lemas di rumahnya di Kampung Masjid, Jalan Perak dan seorang wanita dari Pusat Penjagaan Orang Tua Jalan P Ramlee.