3 direman terlibat rasuah bekal cenderahati pejabat MB Selangor

3 direman terlibat rasuah bekal cenderahati pejabat MB Selangor

Bekas pembantu tadbir pejabat MB Selangor, pemilik syarikat pembekalan cenderahati dan isterinya direman 3 hari.

sprm-tahanan-wanita-eksekutif
SHAH ALAM: Seorang bekas pembantu tadbir di pejabat menteri besar Selangor direman 3 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam pemberian projek membekal cenderahati ke pejabat itu pada 2016.

Perintah tahanan reman ke atas wanita berusia 38 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Alam, Khairul Nizam Abu Bakar.

Turut ditahan reman selama 3 hari ialah seorang pemilik syarikat pembekalan cenderahati berusia 59 tahun dan isterinya yang berusia 52 tahun.

Media semalam melaporkan bekas kakitangan pejabat menteri besar terbabit disyaki menerima wang rasuah sebanyak RM16,566 daripada pemilik syarikat pembekalan cenderahati itu tahun lepas, sebagai balasan mengesyorkan syarikat itu sebagai pembekal cenderahati kepada pejabat berkenaan.

Isteri pemilik syarikat pembekalan cenderahati itu ditahan kerana dipercayai bersekongkol dengan kedua-dua suspek.

Siasatan ke atas ketiga-tiga suspek yang ditahan semalam dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.