
Jagdeep berkata, sejak 2008, sebanyak 13 permohonan sedemikian daripada sektor swasta, malah projek kerajaan persekutuan yang pembangunannya melebihi 76m, ditolak kerajaan negeri.
Beliau turut menegaskan kerajaan negeri tidak pernah berkompromi dengan aspek keselamatan di tapak pembinaan dan bangunan di Pulau Pinang, meskipun melibatkan pembinaan rumah kos rendah atau mampu milik.
“Hakikatnya, saya ingin mengulangi pendirian kerajaan negeri Pulau Pinang apabila kami mendapati apa-apa isu membabitkan keselamatan bangunan, apa juga jenis bangunan, walaupun rumah kos rendah dan rumah mampu milik, kami akan menuntut supaya struktur itu sama ada diruntuhkan atau diperbaiki pemaju,” katanya selepas mengadakan pemeriksaan mengejut di 2 projek perumahan mampu milik di Teluk Kumbar, hari ini.
Ditanya sama ada kerajaan negeri sekarang tidak pernah meluluskan sebarang pembangunan lereng bukit melewati 76m sejak mengambil alih pemerintahan di negeri ini, Jagdeep menjawab: “Kami sama sekali tidak akan meluluskannya”.
Jagdeep turut menegaskan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab berhubung projek rumah mampu milik di Tanjung Bungah yang dilanda tanah runtuh dan mengorbankan 11 pekerja pada Sabtu lalu, dibina di atas lereng bukit, adalah sama sekali tidak disokong bukti.
Sebenarnya, jelas beliau, projek itu dibina di atas tanah landai iaitu 40m.
Justeru, beliau berkata, adalah lebih baik siasatan berhubung insiden itu diserahkan kepada suruhanjaya bebas siasatan negeri, yang berkemungkinan besar ditubuhkan minggu ini setelah mendapat persetujuan rasmi Yang Dipertua Negeri.
Berhubung insiden itu, Jagdeep memutuskan mulai sekarang, setiap kali beliau mengadakan pemeriksaan mengejut ke atas mana-mana projek perumahan tertentu, ia mesti turut disertai pihak berkuasa tempatan.
“Saya telah mengarahkan hari ini, semua pihak berkuasa tempatan mengemukakan kepada saya laporan berkaitan semua aspek teknikal khususnya, keselamatan semua projek yang akan saya lawat secara mengejut itu.
“Saya akan terus berusaha memastikan sebarang pembangunan mematuhi semua aspek teknikal, khususnya larangan pembangunan melewati 76m, dan jika terdapat kes seperti di Tanjung Bungah yang berlaku, kami akan mendesak semua pihak terlibat bertanggungjawab,” katanya.