SPRM panggil Shafie Apdal kes seleweng dana RM1.5 bilion

SPRM panggil Shafie Apdal kes seleweng dana RM1.5 bilion

Ia susulan siasatan melibatkan anggota keluarga bekas menteri pembangunan luar bandar itu.

Shafie-Apdal_sabah
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal hari ini dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi kenyataan berhubung siasatan penyelewengan RM1.5 bilion daripada dana yang diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar negeri itu.

Shafie dilaporkan akan terbang ke Kota Kinabalu hari ini untuk bertemu dengan SPRM petang ini.

FMT difahamkan Shafie akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sekitar jam 3 petang ini. Sebuah program oleh sayap parti Warisan, Wirawati (Puteri) dibatalkan kerana beliau terpaksa menghadiri sesi soal jawab tersebut.

Hari ini, adiknya Hamid Apdal dibebaskan daripada tahanan reman berhubung kes yang sama dengan ikat jamin RM50,000 dengan RM25,000 dideposit berserta 2 orang penjamin.

Menantu Hamid juga dijangka dibebaskan hari ini, manakala seorang lagi adik Shafie iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu daripada Umno, Datuk Yusof Apdal kini masih ditahan reman.

Sebelum ini dilaporkan 350 projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah membabitkan dana awam bernilai RM7.5 bilion sedang dipantau SPRM.

Projek berkaitan pembangunan prasarana air, elektrik dan jalan raya itu dilaksanakan dalam tempoh 2009 hingga 2015, dilaksanakan di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

Lebih 45 orang disoal siasat SPRM sejak siasatan bermula 3 minggu lalu.

 

Adik Shafie Apdal ditahan SPRM

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.