
Madam Dalbir, 55, berkata perniagaannya merudum sejak 2 tahun lalu selepas berpindah ke kawasan perniagaan yang dikhaskan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Tahun ini paling teruk. Tiada pelanggan, tiada orang kerumun,” katanya ketika ditemui FMT hari ini.
Sebelum ini Madam Dalbir berniaga kuih-muih dan manisan tradisional masyarakat India di kaki lima kedai di Jalan Tengku Kelana sebelum MPK memindahkan peniaga kecil-kecilan sepertinya ke sebatang lorong yang terletak berdekatan.
“Sejak mereka campak kami di sini tak ada pelanggan walaupun Deepavali tinggal beberapa hari lagi,” katanya.

Tinjauan FMT di Jalan Tengku Kelana – jalan raya utama yang melalui “Little India” – dan kawasan sekitar mendapati suasana yang suram tanpa kebanjiran pengunjung.
Madam Dalbir yang sudah 30 tahun berniaga mencadangkan agar MPK membenarkan beliau dan 19 pengusaha gerai lain kembali ke Jalan Tengku Kelana.
Seorang pekerja kedai di Jalan Tengku Kelana berkata keberadaan gerai-gerai di kaki lima suatu masa dahulu bukan sekadar memeriahkan suasana tetapi juga menarik pelanggan ke kedai-kedai di situ.

“Ada kedai-kedai kecil nampak ramai orang, sekarang bila mereka pindah ke belakang pelanggan pun pecah – sana sikit, sini sikit,” kata P Lokaswary, 46.
Pembantu jualan itu berkata perniagaan nampak menurun tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya. Beliau percaya aktiviti di “Little India” suram sejak peniaga kecil-kecilan berpindah dan kerana Cukai Barangan dan Perkhidmatan.
“Tahun lepas ‘okay’, tahun ini kurang banyak. Tak ramai orang membeli, cuma beli pakaian beli siap, sari-sari pun kurang beli,” katanya.
Deepavali akan disambut pada 18 Oktober ini di seluruh dunia oleh penganut agama Hindu, Sikh dan Jainisme.