Lelaki didakwa memandu mabuk hingga sebabkan kecederaan penunggang motosikal

Lelaki didakwa memandu mabuk hingga sebabkan kecederaan penunggang motosikal

Low Kean Peng didakwa sebab kecederaan parah pada Zulfiqar Zamir Amirul Nizam di Persiaran Kota, Klang, 13 Mei lalu.

Low Kean Peng
Low Kean Peng ketika didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini.
KLANG:
Seorang perancang acara sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang penunggang motosikal minggu lalu.

Low Kean Peng, 35, didakwa memandu kereta dengan bacaan alkohol 196mg bagi setiap 100ml darah, melebihi had dibenarkan iaitu 50mg bagi setiap 100ml.

Dia dituduh menyebabkan kecederaan parah kepada penunggang motosikal, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 26, ketika memandu di bawah pengaruh alkohol. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Persiaran Kota, Klang pada kira-kira 12.35 pagi, 13 Mei.

Low didakwa mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000.

Dia membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli mencadangkan jaminan RM15,000 memandangkan keseriusan kes itu.

Namun, peguam bela Ethan Tan memohon jumlah yang lebih rendah dengan alasan pendapatan anak guamnya kira-kira RM2,000 sebulan.

Tan berkata Low menanggung ibu bapa yang sudah berusia, dengan ibunya menghidap diabetes dan bapanya sedang menjalani rawatan kanser.

Beliau turut berhujah bahawa prinsip anggapan tidak bersalah harus terpakai kepada Low, yang belum disabitkan kesalahan dan berhak membela diri di mahkamah.

Karthiyayini kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis dua kali sebulan.

Beliau turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai, dan menetapkan 30 Julai untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.