Peguam: Kabinet berkuasa tentukan nasib syor RCI forex

Peguam: Kabinet berkuasa tentukan nasib syor RCI forex

S N Nair percaya laporan itu akan didedahkan kepada umum tetapi pada masa yang sama meragui penemuan RCI mencukupi untuk membina kes prima facie.

sn-nair_bnm_new600
PETALING JAYA:
Kabinet yang mempunyai kuasa memutuskan sama ada laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan dengan kerugian pertukaran asing Bank Negara Malaysia diumumkan kepada publik umum dan pada masa yang sama terserah kepada peguam negara untuk bertindak terhadap mereka terlibat, kata seorang peguam.

S N Nair berkata, langkah Pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengemukakan laporan itu kepada Yang di-Pertuan Agong semalam sememangnya merupakan 1 proses simbolik kerana anggota suruhanjaya dilantik oleh Seri Paduka atas nasihat kerajaan.

“Kini terserah kepada Kabinet sama ada untuk membuat laporan itu kepada umum dan terserah kepada peguam negara untuk bertindak terhadap mereka yang terlibat,” kata peguam itu yang sebelum ini pernah muncul mewakili 2 pelanggannya dalam prosiding RCI iaitu yang melibatkan isu video VK Lingam pada tahun 2007 dan kes membogelkan suspek wanita yang ditahan polis pada 2004.

Nair percaya laporan itu akan didedahkan kepada umum.

Beliau berkata jika sesiapa terlibat melakukan kesalahan jenayah, peguam negara yang juga pendakwa raya perlu mengarahkan agensi penyiasatan untuk mengumpul bukti lanjut.

“Saya meragui penemuan RCI mencukupi untuk membina kes prima facie jika ada yang terlibat dengan salah laku jenayah.

“Di RCI, bukti pendengaran dibenarkan tetapi untuk membuktikan kes di mahkamah undang-undang, kerajaan mesti mematuhi ketetapan yang ketat,” katanya.

Nair berkata, peguam negara juga boleh memfailkan saman sivil terhadap mereka yang cuai jika laporan itu mencadangkan sedemikian.

“Tetapi dari pengalaman lepas daripada laporan RCI, tiada siapa yang dikenakan atau disabitkan dengan tuntutan sivil,” katanya.

Laporan 400 halaman mengenai kerugian forex pada 1990-an telah diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan menerima laporan siasatan RCI Mengenai Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Laporan setebal 400 muka surat itu diserahkan kepada Seri Paduka oleh Sidek Istana Negara.

“Seri Paduka akan membawa laporan itu kepada kerajaan dan saya telah menjelaskan dalam sesi bersama Seri Paduka tentang hasil daripada suruhanjaya tersebut. Terpulang kepada kerajaan untuk membuat tindakan selanjutnya,” kata Sidek.

RCI dianggotai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan. Setiausaha Bahagian Pelaburan Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail dilantik sebagai setiausaha suruhanjaya.

Sidek berkata laporan berkenaan menyediakan lima syor bagi lima bidang rujukan suruhanjaya itu.

Antara bidang rujukan suruhanjaya berkenaan ialah:

*Untuk menentukan sama ada urus niaga mata wang asing Bank Negara, yang mengalami kerugian, telah melanggar peruntukan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang lain yang berkenaan.

*Untuk menentukan sama ada terdapat unsur sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta penyata mengelirukan yang dikemukakan kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai berhubung kerugian dialami Bank Negara disebabkan urus niaga mata wang asing itu.

*Untuk mengesyorkan tindakan sewajarnya yang perlu diambil terhadap pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung sekiranya mereka didapati menyebabkan Bank Negara mengalami kerugian itu dan menyembunyikan fakta serta maklumat mengenai kerugian yang dimaksudkan.

*Untuk mengesyorkan tindakan yang patut diambil bagi memastikan perkara serupa tidak berulang.

Suruhanjaya itu bersidang selama 8 hari bermula dari 21 Ogos dan berakhir pada 19 September selepas memanggil 25 saksi.

Antara saksi berkenaan ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas babenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas penasihat BNM Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.