Elak ditahan, Jamal mohon maaf tak jual ikan di himpunan PH

Elak ditahan, Jamal mohon maaf tak jual ikan di himpunan PH

Pemimpin gerakan Baju Merah itu berkata, beliau tidak muncul di himpunan anti-kleptokrasi di Padang Timur hari ini susulan amaran pihak berkuasa.

jamal-yunos-mohon-maaf-tak-jual-ikan-di-perhimpunan-ph
PETALING JAYA: Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengugut mahu menjual ikan harga murah pada himpunan anti-kleptokrasi di Padang Timur hari ini memohon maaf kerana tidak dapat membuka gerai di sana.

“Ini disebabkan desakan pihak berkuasa supaya tidak menghadirkan diri ke lokasi yang diumumkan beberapa kali hari ini…walaupun ikan-ikan sudah siap disediakan untuk jualan di sana.

“Datuk Seri maklum dengan arahan pihak berkuasa yang diterima. Baru keluar dari lokap minggu lepas dah nak dimasukkan balik minggu ini,” demikian mesej pembantu Jamal kepada wartawan hari ini.

Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu sebelum ini berikrar menjual 10 tan ikan pada harga RM5 1kg bagi mengambil kesempatan daripada orang ramai yang menghadiri himpunan “Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi”.

Pembantu Jamal itu berkata, pemimpin gerakan Baju Merah itu akan meneruskan jualan ikan pada harga murah di Sekinchan, esok dan menghadiri perasmian Restoran Gabungan NGO 1Malaysia di Jalan Pahang yang menawarkan makan tengah hari percuma setiap hari, pada Isnin.

“Kalau Jamal kena tangkap hari ini, program-program yang dirancang kemungkinan tergendala.”

Terdahulu, seorang penyokong gerakan Baju Merah yang dikesan memandu melalui lokasi himpunan itu, berjaya menarik perhatian peserta himpunan itu.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, polis akan mengambil langkah keselamatan, termasuk “menguruskan” Jamal yang mahu menjual ikan harga murah di himpunan itu.

Kelmarin, Jamal bertegas tidak akan memohon permit Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk berniaga di lokasi himpunan itu.

Datuk Bandar Petaling jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, penguat kuasa akan menghalau pemimpin gerakan Baju Merah itu sekiranya berniaga tanpa permit.

Jamal bagaimanapun berkata, beliau tidak berhasrat mengganggu acara itu dan berkata, MBPJ sepatutnya lebih bimbang akan tunjuk perasaan yang diadakan tanpa permit polis itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.