
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan tersebut penting berikutan kebakaran bangunan asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur bulan lalu.
Katanya kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah- Sekolah yang dipengerusikan beliau sendiri dan beberapa perkara telah diambil pertimbangan.
“Kita sudah bermesyuarat dan meneliti beberapa perkara yang boleh diperbaiki secepat mungkin termasuk memastikan piawaian setiap premis tahfiz, pondok pengajian serta penghuni termasuk anak yatim, sekolah agama, tadika, pusat jagaan kanak-kanak dan orang tua dipatuhi.
“Saya mahu badan-badan profesional seperti RBS dan RISM mengambil inisiatif menilai kembali status fizikal setiap bangunan bagi mengelakkan kebakaran berlaku, ” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan rumah baharu mangsa kebakaran di Kampung Batu 9, Hutan Melintang di sini hari ini.
Penyerahan kunci melibatkan 11 rumah terdiri daripada 9 keluarga berketurunan India merupakan inisiatif Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Anggota Parlimen Bagan Datuk.
Pembinaan semua unit rumah di atas plot tanah asal dengan keluasan 2.45 hektar itu menelan kos RM527,600 mula dibina hujung Mac lalu dan siap sepenuhnya 6 bulan kemudian.
Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata pemantauan dan penilaian keselamatan perlu diadakan secara berterusan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini terutama mengorbankan nyawa.
Mengenai majlis penyerahan rumah itu, beliau yang Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata ia jelas membuktikan komitmen kerajaan bagi meningkatkan lagi taraf kehidupan rakyat.