
Dr Russel Salic adalah salah seorang daripada 3 orang yang dipercayai terlibat dalam plot serangan pengganas yang digerakkan oleh kumpulan Negara Islam (IS) semasa Ramadan di New York City, termasuk di tempat-tempat konsert, stesen bawah tanah dan Times Square.
Tuduhan keganasan terhadap ketiga-tiga lelaki itu didedahkan oleh mahkamah persekutuan kelmarin sementara pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mahu memastikan tidak ada pihak lain terlibat dalam kes itu.
Media Filipina melaporkan Salic sebelum ini mengirim wang antara AS$180 (RM763) hingga AS$583 ke Malaysia, Australia, Syria, Lebanon, Palestin dan Bosnia antara Februari 2015 dan Jun 2016.
Mereka juga memetik dokumen mahkamah persekutuan AS yang mengatakan Salic telah menghantar AS$426.30 kepada Jasanizam Rosni di Johor pada 24 Jun 2016, beberapa hari sebelum serangan Movida.
Jasanizam dijatuhi hukuman penjara 3 tahun pada April kerana merancang serangan keganasan terhadap kelab malam dan sebuah kuil di Johor Baru pada 2016.
The Financial Times melaporkan, dalam mesej kepada ejen FBI yang menyamar, yang dia percaya adalah sekutu, Salic mendakwa bahawa dia telah membiayai tindakan IS di tempat-tempat lain.
Sebagai rujukan kepada orang Yahudi di New York, beliau juga berkata “adalah seronok jika kita boleh menyembelih mereka”, kata ejen FBI, Cody Haven di mahkamah.
FBI menyimpulkan Salic telah menyediakan pembiayaan untuk mengebom kelab malam, serangan pertama IS di Malaysia, di mana 8 orang cedera, kata pembicaraan mahkamah.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun hari ini memberitahu FMT bahawa pihak berkuasa sedang mengkaji kemungkinan hubungan Salic yang lain kepada pembiayaan keganasan di negara ini.
Pakar bedah ortopedik, yang pernah bekerja di sebuah hospital di bandar Marawi, selatan Filipina, itu kini menghadapi kes pembunuhan dan penculikan yang tidak berkaitan di Filipina.
Dia kini berada di bawah jagaan kerajaan Filipina dan dipercayai AS mahu dia diekstradisi.
Salic ditangkap pada bulan April lalu apabila dia menyerah kepada pihak berkuasa di Manila berhubung penculikan dan pembunuhan yang dilaporkan dijalankan oleh kumpulan pro-IS Maute, yang kini bertempur dengan tentera kerajaan di wilayah Marawi yang dikepung.
Penyiasat AS mendakwa Salic telah menghantar AS$423 untuk membiayai serangan New York yang dirancang, 1 tuduhan yang dinafikannya, dengan mengatakan dia menyangka ia adalah untuk kerja-kerja amal.
Ejen FBI yang menyamar menggagalkan plot mereka selepas menyamar sebagai pelampau dan berkomunikasi dengan mereka menerusi aplikasi bermesej.
Salah seorang defendan, Abdulrahman El Bahnasawy, ditangkap ketika dalam perjalanan dari Kanada ke New Jersey pada Mei 2016, didakwa melakukan serangan.
Bahnasawy, 19, memberitahu ejen yang menyamar bahawa “orang Amerika perlukan serangan”, dan dia mahu “mencipta 9/11 yang seterusnya.”
Dia menghantar ejen gambar Times Square dan berkata: “Kami dengan serius perlu bom kereta di Times Square. Lihatlah orang yang ramai di sana!”.
Dalam mesej lain, Bahnasawy berkata dia mahu “menembak di konsert untuk membunuh ramai orang … kami hanya berjalan dengan senjata di tangan kami. Itulah bagaimana lelaki Paris melakukan.”
Dia dipercayai merujuk kepada serangan 2015 di dewan konsert Bataclan di ibu kota Perancis yang membunuh 89 orang. Bahnasawy mengaku bersalah pada Oktober 2016.
Lelaki yang lain adalah Pak Talani Haroon, yang Bahnasawy perkenalkan kepada ejen yang menyamar. Haroon didakwa merancang untuk pergi ke New York bagi membantu serangan Bahnasawy.
Haroon juga dikatakan sedang menunggu proses ekstradisi ke AS.