
Kumpulan yang tidak bernama itu menuntut agar kerajaan Pulau Pinang memastikan Uber dan Grab “berkongsi” dengan pemandu teksi supaya mereka juga boleh mengambil penumpang dari tempat terpilih.
Menerusi mesej WhatsApp yang tersebar, kumpulan yang menggelarkan diri mereka “semua pemandu teksi, kereta sewa dan limo” berkata tunjuk perasaan akan diadakan di depan Komtar pada 7.00 pagi esok.
Menurut mesej itu, individu yang akan membawa isu itu ialah Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Uptown Pulau Pinang V Thasarathan, yang akan menuntut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng “melakukan sesuatu” bagi pihak mereka.
“Pendapatan kami terjejas teruk akibat kurang perjalanan kerana semua orang menggunakan Grab dan Uber. Kami menuntut perkongsian perjalanan yang mereka dapat,” katanya kepada FMT.
Tasharathan berkata kerajaan Pulau Pinang mesti menyampaikan kebimbangan mereka kepada kerajaan persekutuan agar sumber pendapatan mereka tidak terjejas.
Sebelum ini dilaporkan terdapat hampir 2,000 pemandu teksi dan limosin lapangan terbang di Pulau Pinang dengan 300 pemandu menyediakan perkhidmatan perjalanan ke lapangan terbang.
Bagaimanapun, persatuan pemandu teksi lain mendakwa tunjuk perasaan yang dirancang esok akan dibuat oleh sekumpulan pemandu yang “marah”.
Setiausaha Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Suhaimi Hadzri berkata penganjur tunjuk perasaan itu hanya akan menimbulkan kesusahan kepada pemandu teksi lain.
Beliau berkata dengan meunjuk perasaan, kebanyakan orang awam akan menganggap teksi tidak lagi menyediakan perkhidmatan, sebaliknya memilih Uber dan Grab, sekaligus bertentangan dengan tujuan asal tunjuk perasaan itu.
“Kami tidak akan menyokong tunjuk perasaan seperti ini. Tidak ada masalah dengan syarikat perkongsian kereta. Kami tahu kerajaan merancang untuk menghalalkannya dan menjadikannya adil kepada pemandu teksi,” kata Suhaimi.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Limosin Lapangan Terbang Pulau Pinang Hafizi Ahamad berkata ia akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur.
Beliau berkata penganjur menggunakan nama mereka tanpa persetujuan dan akan memberi kesan buruk kepada perkhidmatan di lapangan terbang.
“Kami tidak akan menyokong apa-apa bantahan atau tunjuk perasaan tanpa kebenaran kalangan ahli terlebih dahulu.
“Saya ingin mengulangi bahawa pemandu limo lapangan terbang tidak terlibat dalam tunjuk perasaan ini,” kata Hafizi.