Jabatan Agama Islam Perak, masjid anjur pesta tanglung

Jabatan Agama Islam Perak, masjid anjur pesta tanglung

Festival Perpaduan Tanglung diadakan di perkarangan Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Ipoh, Perak, yang juga penganjur program berkenaan.

tanglung
PETALING JAYA:
Ratusan rakyat berbilang kaum menyertai Festival Perpaduan Tanglung anjuran bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Ipoh dan Persatuan Soka Gakkai Perak, semalam.

Sin Chew Daily melaporkan festival itu diadakan di perkarangan Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Taman Tasek Jaya, Ipoh, yang juga penganjur program berkenaan.

Orang ramai, termasuk kaum Melayu turut berarak mengelilingi kawasan perumahan sekitar bersama tanglung.

Penganjur turut mengadakan pameran pembuatan tanglung, seni menggunting kertas Cina, persembahan tarian naga dan singa, demonstrasi membuat kuih bulan serta menyalakan tanglung Kongming.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Macma Cawangan Ipoh, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah.

Zambry dipetik akhbar itu berkata, ajaran Islam menggalakkan perpaduan dan keamanan, tetapi aktiviti budaya tiada kaitan dengan kepercayaan agama, contohnya perayaan tanglung ialah kebudayaan orang Cina yang juga boleh diraikan bersama umat Islam.

Beliau memuji penganjuran aktiviti penuh bermakna dan istimewa itu supaya rakyat memahami gaya hidup kaum dan agama lain serta menggerakkan program kebudayaan secara bersama.

Sementara itu, Cheah berkata, umat Islam mempunyai tanggungjawab memperjelaskan salah faham mengenai Islam dan Macma berhasrat memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum serta agama menerusi penganjuran aktiviti itu, selain menyampaikan mesej Islam tidak menyokong keganasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.