SIC sahkan dokumen tuntutan RM1.24 juta palsu

SIC sahkan dokumen tuntutan RM1.24 juta palsu

SIC tidak bercadang membuat laporan polis terhadap dokumen palsu akibat kemalangan berpunca daripada jentera Romain Grosjean terlanggar penutup longkang pada sesi latihan semalam.

razlan-f1
SEPANG: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali mengesahkan satu dokumen tuntutan ganti rugi sebanyak AS$295,000 (RM1.24 juta) atas nama pasukan Formula Satu (F1) Haas terhadap SIC yang tular di laman sosial hari ini adalah palsu.

Dokumen itu menyatakan tuntutan itu perlu dibayar SIC selepas pemandu pasukan Haas, Romain Grosjean mengalami kemalangan apabila jentera dipandunya terlanggar penutup longkang di selekoh 13 pada sesi latihan ke-2 semalam sehingga memaksa sesi berkenaan dihentikan 20 minit lebih awal.

“Saya boleh mengesahkan dokumen itu palsu selepas dimaklumkan secara rasmi oleh pihak International Automobile Federation (FIA) petang ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Razlan berkata, pihaknya tidak bercadang membuat laporan polis, sebaliknya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap perlumbaan esok yang juga perlumbaan Grand Prix Malaysia terakhir bakal dianjurkan di SIC selepas 19 tahun.

Sementara itu, mengenai status penjualan tiket, Razlan berkata, setakat 5 petang tadi, lebih 70,000 tiket habis dijual dan beliau berharap jumlah itu akan meningkat pada hari perlumbaan esok untuk mencapai sasaran 80,000 tiket.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.