DoJ siasat kemungkinan rasuah dalam urusan Uber dengan Putrajaya

DoJ siasat kemungkinan rasuah dalam urusan Uber dengan Putrajaya

Uber melantik pasukan peguamnya untuk menyiasat dakwaan berlaku korupsi dalam hubungannya dengan kerajaan Malaysia.

Uber
PETALING JAYA:
Malaysia merupakan antara negara yang menjadi sasaran siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap syarikat pengangkutan Uber, menurut laporan Bloomberg.

Ia memaksa Uber mendapatkan khidmat peguamnya sendiri untuk menyiasat sama ada berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau salah laku rasuah.

Antara yang disiasat Uber ialah rekod pembayaran di luar negara. Selain Malaysia, negara terlibat ialah China, India, Indonesia, dan Korea Selatan.

Bloomberg melaporkan peguam Uber kini turut terlibat menyiasat “derma korporat” berpuluh ribu dolar pada Ogos 2016 kepada Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC), yang ditubuhkan Putrajaya untuk menggalakkan keusahawanan.

Pada masa sama, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) mengumumkan pelaburan sebanyak AS$30 juta ke dalam Uber, menurut sumber yang arif dengan urusan itu seperti dipetik Bloomberg.

Kurang setahun selepas itu, kerajaan Malaysia meluluskan akta yang memberi kelebihan kepada perkhidmatan seperti Uber.

Siasatan yang dipanggil Uber kini tertumpu sama ada berlaku perpindahan wang dalam perkembangan tersebut.

Amalan menyiasat syarikat sendiri adalah sesuatu yang biasa di Amerika Syarikat, supaya ia dapat dilaporkan kepada DoJ dan mungkin dibalas dengan hukuman lebih ringan sekiranya terbukti wujud salah laku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.