
Datuk Thanabalan Nadarajah, 74, berkata jika inisiatif itu, yang melahirkan jaguh seperti Santokh Singh dan Jalil Che Din, masuk akal suatu masa dahulu, pastinya ia diperlukan sekarang ini, ketika negara masih belum berpuas hati dengan mutu sedia ada.
“Perlu mula dari sekolah. Dulu di sekolah ada kelab-kelab kecil tetapi sekarang ini tidak ada,” kata Thanabalan kepada FMT.
“Malah di peringkat komuniti juga tidak ada. Jika komuniti ada kelab bola sepak, baru kita boleh lihat dan pilih pemain yang berkualiti,” tambahnya.
FMT menemui pemain negara 1960-an itu di kediamannya untuk berbual mengenai bola sepak negara dan pengajaran dari kegemilangan zaman silam.
Beliau berkata pada zamannya terdapat banyak kelab bola sepak akar umbi ditubuhkan dengan penglibatan kampung, sekolah rendah, kelab rekreasi dan jabatan kerajaan di pekan.
Berdasarkan cerita Thanabalan, persaingan sengit antara kelab akar umbi itu membawa kepada terlahirnya jaguh bola sepak yang berpotensi.
“Pada zaman dahulu, inilah caranya pemain bola sepak dilahirkan. Melalui liga dan pertandingan bola sepak komuniti,” katanya.
Beliau memberikan contoh pasukan dari Kampung Air Panas, Setapak, yang melahirkan Santokh Singh, R Subramaniam, R Nallathamby dan K Rajagobal. Di Perak, pemain berbangsa Cina lahir melalui penglibatan Kelab Rekreasi Cina Perak.
Jalil Che Din, Salleh Ibrahim, Wan Zawawi Wan Yusoff, Datuk Namat Abdullah, Ali Bakar, Shaharudin Dollah, Syed Ahmad Abu Bakar dan Hamzah Hussein pula lahir melalui penglibatan Penjara Taiping dalam Liga Divisyen 1 Perak dan Piala Bayley.
“Liga dan pertandingan ini tidak dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Ia juga tidak diilhamkan oleh persatuan bola sepak negeri. Sebaliknya ia ilham komuniti sendiri,” katanya.
“Sudah pasti bila ada kelab bola sepak, mesti akan jumpa bakat baru. Tapi sekarang kita tak nampak kelab bola sepak langsung. Kita mesti bawa balik,” katanya.
Melalui carian di internet, FMT mendapati kelab terkemuka Inggeris seperti Manchester United melancarkan kembali program bola sepak akar umbi pada 2011. MU bekerjasama dengan masyarakat setempat, sekolah rendah dan kelab bola sepak akar umbi untuk melatih dan membangunkan pemain, jurulatih dan pasukan di peringkat mereka di serata kotaraya Manchester dan barat laut England.
Pandangan serupa turut disuarakan Datuk Santokh Singh, bekas pemain negara 1970-an. Katanya, kelab di peringkat sekolah rendah perlu dihidupkan kembali agar pemain mereka boleh diserap ke pasukan muda seperti Bawah 18 dan Bawah 22.
“Saya percaya cara terbaik menghasilkan pemain berkualiti perlu bermula di peringkat bawah,” katanya kepada FMT.
“Kelab-kelab sekarang belum ada lagi hasilkan pemain berkualiti. Saya sokong wujudkan kembali kelab bola sepak seperti zaman dahulu.”
Pengkritik sukan Tan Sri Prof Khoo Kay Kim bagaimanapun berkata langkah itu tidak memadai kerana beliau melihat sekolah masa ini tidak lagi memberi tumpuan kepada sukan dunia nombor satu itu.
“Sekarang melawat sekolah yang ada padang untuk sukan bola sepak pun tidak digunakan lagi,” katanya. “Jadi kalau ada kelab sahaja tidak guna kalau tidak ada pemain.”
“Sekolah tidak keluarkan pemain, kalau ada kelab pun tidak guna. Kita perlu belajar bermain bola sepak bukan bila sampai umur 16 atau 20 tetapi perlu belajar sejak kecil lagi terutama ketika sekolah rendah,” katanya.