
Timbalan Ketua Pengarah Bomba, Datuk Saimon Jahid berkata, semua mangsa maut kerana tidak dapat membuka jeriji tingkap.

“Kawasan terlibat secara keseluruhan melibatkan 3 tingkat. Apabila bomba sampai di tingkat 3, kita jumpa beberapa mangsa di sana yang berkumpul di 3 sudut berlainan.
“Satu di penjuru kanan seramai 13 orang, bertindih-tindih, satu berhadapan pintu tangga utama, 8 lagi di hujung sudut sebelah kiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian sebentar tadi.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.41 pagi tadi.
Katanya, 5 pelajar yang berjaya diselamatkan dalam operasi pertama pagi tadi, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Beliau berkata, operasi memadam kebakaran itu yang disertai 50 anggota tamat 8 pagi tadi, tetapi pihaknya masih melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelajar atau guru yang tertinggal dalam bangunan itu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mendapati sekolah tahfiz itu baru mengemukakan permohonan untuk kelulusan dari segi keselamatan kebakaran bangunan itu.
“Sepatutnya, pihak pemilik perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan sebelum memulakan operasi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, semua 24 mangsa korban ditemui dalam keadaan rentung dan bertindih di tingkat teratas pusat tahfiz terbabit yang menempatkan 36 pelajar.
Katanya, 14 pelajar dan 4 guru berjaya menyelamatkan diri.
Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula di bahagian pintu masuk pusat tahfiz itu yang hanya mempunyai sebuah pintu keluar masuk, selain tingkap bangunan berkenaan tidak dilengkapi aspek keselamatan untuk kegunaan waktu kecemasan.
Pegawai perhubungan awam HKL yang dipetik Bernama berkata, 4 mangsa kritikal dan 3 cedera ringan kini dirawat di hospital itu.
Lebih 20 pelajar maut dalam kebakaran sekolah tahfiz di Keramat