Mahkamah Persekutuan akan tentukan nasib kanak-kanak tanpa kerakyatan

Mahkamah Persekutuan akan tentukan nasib kanak-kanak tanpa kerakyatan

Peguam berkata, ibu bapa terjejas mencari penyelesaian melalui mahkamah memandangkan kerajaan tidak simpati dengan rayuan kanak-kanak tanpa kerakyatan.

stateless-child
PUTRAJAYA: Ribuan ibu bapa menanti keputusan Mahkamah Persekutuan sama ada anak mereka boleh diiktiraf sebagai warganegara Malaysia melalui perintah mahkamah.

Ia susulan keputusan panel 3 hakim yang diketuai Tan Sri Hasan Lah, hari ini, membenarkan permohonan 3 pasangan supaya rayuan mereka didengar berhubung status anak tanpa kerakyatan.

Persoalan asas ialah sama ada pertalian darah atau keturunan ialah syarat di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan kewarganegaraan seorang kanak-kanak.

Dalam ketiga-tiga kes itu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan kewarganegaraan mereka hanya kerana ibu terbabit ialah warga asing, walaupun anak mereka dilahirkan di Malaysia.

Hasan yang membenarkan merit kes itu didengar berkata, isu berkenaan perlu diselesaikan “sama sekali disebabkan keputusan bercanggah dibuat mahkamah lebih rendah”.

Sebuah Mahkamah Rayuan mengarahkan kerajaan memberi taraf kewarganegaraan kepada seorang kanak-kanak yang mempunyai bapa warga Malaysia dan ibu dari Papua New Guinea.

Bagaimanapun, kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Dalam satu lagi kes yang difailkan tahun ini, Mahkamah Tinggi di Shah Alam merujuk perkara itu kepada Mahkamah Persekutuan kerana ia membabitkan isu Perlembagaan.

Dalam kes berkenaan, ibu bapa kandung kanak-kanak itu tidak diketahui, tetapi beliau dijadikan anak angkat oleh rakyat Malaysia.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) enggan memberi kerakyatan kepada kanak-kanak terbabit kerana sijil kelahirannya menyatakan beliau bukan warganegara.

Dalam permohonan hari ini, Mahkamah Rayuan pada 16 Mac lalu menolak cubaan berasingan 2 kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia kerana gagal membuktikan mereka tiada kewarganegaraan atau bukan rakyat negara lain.

Dalam kes rakyat Malaysia, Lim Jen Hsian yang mempunyai anak lelaki berusia 6 tahun, mahkamah memutuskan kanak-kanak itu tidak boleh diiktiraf sebagai warganegara, walaupun beliau dilahirkan di Malaysia.

“Tiada pertikaian berhubung bukti dokumen yang mengesahkan perayu ke-2 (Lim Zu Yi) dilahirkan selepas Hari Malaysia, pada 6 Oktober 2010 di Hospital Tung Shin.

“Bagaimanapun, isunya ialah sama ada beliau memenuhi syarat tidak dilahirkan sebagai warganegara mana-mana negara lain di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan,” kata Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Badariah Sahamid ketika membaca penghakiman ringkas.

Ibu Zu Yi ialah warga Thailand, di mana ibu bapanya tidak berkahwin secara sah ketika beliau dilahirkan.

Hakim berkata, ini bermakna kanak-kanak itu bukannya tiada kerakyatan, sebaliknya beliau ialah rakyat Thailand mengikut kewarganegaraan ibunya.

Dalam kes Than Siew Beng pula, beliau menjadikan Alexander Than Keng Mun yang dilahirkan di sebuah klinik di Ampang, 19 tahun lalu sebagai anak angkatnya.

Mahkamah mendapati ia tidak mungkin dapat mengenal pasti keturunan pemuda itu kerana tiada maklumat berhubung ibu bapa kandungnya dalam sijil kelahirannya.

Mahkamah berkata, ini bermakna Siew Beng dan anak lelaki angkatnya tidak membuktikan beliau bukan rakyat mana-mana negara.

Kes ke-3 sama dengan kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan peguam, Cyrus Das yang mewakili anak-beranak terbabit, supaya media dan kumpulan berkepentingan lain merahsiakan identiti mereka.

Peguam, Annou Xavier yang mewakili Majlis Peguam Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia berkata, Malaysia sudah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak pada 1995.

“Ini menunjukkan Malaysia dan negara lain yang bersetuju mematuhi perjanjian itu, serius dalam menjaga kepentingan kanak-kanak untuk tidak menjadikan mereka tiada kerakyatan,” katanya kepada wartawan di luar mahkamah.

Beliau berkata, JPN tidak mengiktiraf kanak-kanak itu sebagai rakyat Malaysia kerana Seksyen 17 Bahagian III Perlembagaan Persekutuan menyatakan kerakyatan kanak-kanak itu mengikut kewarganegara ibunya.

Das berkata, keputusan hari ini akan membolehkan pihak terbabit menuntut hak perlembagaan mereka.

“Seorang kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia dan dijadikan anak angkat oleh pasangan Malaysia, berhak diiktiraf sebagai warganegara mengikut Perlembagaan Persekutuan,” kata Das yang juga bekas presiden Majlis Peguam.

Beliau berkata, Seksyen 25 (a) Akta Pengangkatan 2001 menyatakan butiran dalam sijil kelahiran sepatutnya menjadi bukti konklusif seorang kanak-kanak itu ialah rakyat Malaysia.

Peguam, N Surendran berkata, pemohon mendapatkan penghakiman mahkamah kerana cabang eksekutif kerajaan enggan memberi pengiktirafan kepada kanak-kanak terbabit.

“Sebarang keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan akan memberi impak kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan,” kata ahli Parlimen Padang Serai itu.

Beliau berkata, kerajaan tiada statistik kerana jumlahnya mungkin mencecah ribuan orang.

Surendran berkata, beliau ada membangkitkan isu kanak-kanak tanpa kerakyatan pada sidang Dewan Rakyat lalu, tetapi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed memetik keputusan Mahkamah rayuan pada 16 Mac lalu.

“Apa yang kita perlu ialah perubahan dasar oleh Kementerian Dalam Negeri. Permohonan kewarganegaraan perlu diluluskan untuk kes yang layak.”

Katanya, kanak-kanak tidak perlu menjadi mangsa dan tidak diiktiraf sebagai warganegara disebabkan kelemahan dokumentasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.