Perbalahan PKR bukan bonus buat BN, kata Bung Moktar

Perbalahan PKR bukan bonus buat BN, kata Bung Moktar

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, BN tidak perlu bergantung kepada perbalahan dalaman PKR untuk memenangi PRU14, sebaliknya mereka akan terus berkhidmat dan membantu meningkatkan kehidupan rakyat.

Bung-Moktar-
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dan Umno tidak perlu bergantung kepada perbalahan di kalangan parti pembangkang untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Bung Moktar Radin.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, perbalahan di kalangan pemimpin PKR bukan bonus buat BN, sebaliknya mereka akan terus berkhidmat dan membantu rakyat.

“Umno dan BN merancang pelbagai strategi dan kita bukan saja berjuang, kita banyak bekerja untuk kebaikan serta meningkatkan kehidupan rakyat. Perkara begini tidak ada pada pemimpin pembangkang.

“Mana-mana wakil rakyat dari Umno atau BN yang tidak bekerja untuk rakyat, tidak akan bertahan lama menjadi wakil rakyat,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau mengulas perbalahan terbuka antara ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Kedua-dua pemimpin itu membangkitkan “Langkah Kajang” yang berlaku pada 2014, di mana Latheefa menuduh Rafizi sebagai punca perpecahan dalam PKR dan menghalang Datuk Seri Azmin Ali dilantik sebagai menteri besar Selangor.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyifatkan perbalahan pemimpin PKR perkara biasa yang tidak akan menjejaskan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan.

“Saya hanya anggap ia sebagai suatu pertembungan pemikiran, ia tidak jejaskan struktur Pakatan Harapan. Saya tidak nampak apa-apa isu dalaman parti rakan akan jejaskan gabungan.

“Kita anggap ia sebagai kebebasan bersuara dan kita sedang menuju ke era itu. Kelak, perkara ini akan menjadi perkara normal,” katanya.

Beliau berkata, pendedahan isu dalaman PKR itu dapat mendidik akar umbi dalam memahami proses demokrasi dalam setiap parti.

“Semua parti ada proses ini, dari apa yang berlaku, ia adalah proses kematangan dan inilah yang kita mahukan,” katanya.

“Langkah Kajang” berlaku apabila PKR memaksa pilihan raya kecil diadakan di DUN Kajang pada Mac 2014, dalam usaha menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

Rancangan asal adalah meletakkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti menteri besar, dengan mencalonkan beliau di DUN Kajang.

Bagaimanapun, rancangan itu terbantut selepas sabitan Anwar di Mahkamah Rayuan dalam kes liwat membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden PKR, kemudian dilantik sebagai calon bagi menggantikan Khalid.

Bagaimanapun, nama Wan Azizah ditolak istana Selangor, walaupun beliau memenangi PRK Kajang. Sebaliknya, Azmin dengan sokongan PAS akhirnya dilantik menjadi menteri besar.

 

Langkah Kajang rancangan sulit Rafizi halang Azmin, kata pemimpin PKR

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.