
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, tindakan itu bertujuan memberi kesedaran dan menunjukkan solidariti masyarakat serantau terhadap kezaliman tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya.
“Kita menyeru negara Asean, termasuk masyarakat sivil dan komuniti peniaga di Malaysia mengambil langkah memboikot perdagangan, pelaburan dan perniagaan dengan Myanmar.
“Kami merasakan sudah sampai masanya usaha seperti ini dijalankan sebagai tindakan tegas untuk menamatkan keganasan dan mencegah peningkatan krisis lebih besar,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DPMM, hari ini.
Yazid turut menggesa Putrajaya menghentikan pengambilan pekerja dari Myanmar serta-merta, selagi penindasan terhadap etnik Rohingya berterusan.
Katanya, langkah itu boleh memberi mesej jelas majoriti masyarakat Asean serta dunia sangat komited membawa perubahan kepada etnik Rohingya.
“Dengan boikot, sedikit sebanyak bakal memperlihatkan betapa seriusnya isu keganasan ini demi mencapai matlamat ke arah dunia yang lebih aman dan tenteram.
“Kami percaya tidak semua rakyat Myanmar setuju dengan tindakan kejam yang didalangi puak pelampau. Kami mengecam keganasan dan diskriminasi terhadap Rohingya,” katanya.
Asean terdiri daripada 11 negara anggota iaitu Malaysia, Brunei, Filipina, Kemboja, Laos, Indonesia, Myanmar, Singapura, Vietnam, Timur Leste dan Thailand.
Ribuan orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu, apabila militan Rohingya menyerang pondok polis dan pangkalan tentera. Pertempuran itu dan serangan balas tentera kemudiannya membunuh sekurang-kurangnya 400 orang.
Layanan ke atas lebih kurang 1.1 juta penduduk Rohingya adalah cabaran terbesar pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dikritik ramai kerana tidak berusaha melindungi minoriti Islam daripada penyeksaan.
Statistik UNHCR pada 2014 menunjukkan seramai 139,200 pelarian Myanmar berdaftar di Malaysia, dengan 40,070 daripada ialah etnik Rohingya.