
Setakat ini, menurut beliau, hasil pertukaran maklumat risikan menunjukkan punca kematian Houssenaly sehingga kini masih dalam siasatan pihak berkuasa Madagascar.
Oleh itu tegas beliau, sebarang spekulasi liar berhubung kematian Houssenaly, termasuk mengaitkannya dengan proses penyerahan serpihan MH370 selepas pesawat berkenaan dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 lalu adalah tindakan tidak sensitif.
Malah kata Tiong Lai, Blaine Gibson, seorang pemburu bangkai MH370, sepatutnya menunggu dan tidak membuat spekulasi kerana perlu menghormati waris keluarga Houssenaly.
“Jangan kaitkan berita sedih ini dengan MH370 tanpa kemukakan sebarang bukti kukuh sedangkan kita mempunyai prosedur operasi standard dalam mengendalikan penemuan setiap serpihan pesawat.”
Dipetik BH Online hari ini, beliau yang mengucapkan takziah kepada waris Houssenaly berkata, “hentikan cubaan yang sekadar mewujudkan teori konspirasi ini kerana ia seakan-akan ada udang di sebalik batu.”
Laporan media yang memetik Gibson mendakwa konsul kehormat itu yang bertanggungjawab menyerahkan serpihan pesawat MH370 kepada pihak berkuasa Malaysia, maut akibat dibunuh.
Akhbar Australia, Perth Now memetik Gibson yang berasal dari Amerika Syarikat sebagai berkata, serpihan baru yang ditemui itu sepatutnya diserahkan kepada Houssenaly sebelum dihantar ke Malaysia.
Bagaimanapun, laporan itu mendakwa Houssenaly dibunuh pada 24 Ogos lalu sebelum beliau sempat menjalankan tugasnya.
“Demi melindungi mereka yang terbabit, kami memutuskan tidak mendedahkan laporan ini sehingga serpihan itu dihantar ke Malaysia dengan selamatnya,” katanya.
Kementerian Luar tahu mengenai kematian Houssenaly. Namun, tiada butiran diberikan mengenai punca kematiannya.
Perth Now melaporkan seorang wakil Independent Group – sebuah pasukan pakar penerbangan dan matematik yang mengikuti perkembangan kehilangan MH370 berkata, masa kematian Houssenaly “mencurigakan” kerana belaiu dijangka pergi ke Kementerian Pengangkutan Madagascar untuk mendapatkan dan menghantar serpihan itu ke Malaysia.
Wakil itu mendakwa pihak berkuasa Malaysia dan Perancis bagaimanapun mendiamkan diri berhubung pembunuhan Houssenaly.
Tiong Lai juga berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) sudah diarah untuk menguruskan proses penerimaan dan penelitian serpihan berkenaan dari pihak berkuasa Madagascar.
“Serpihan itu belum sampai ke tangan konsul kerana masih dalam kendalian pihak berkuasa Madagascar, justeru menerusi SOP, kita boleh sama ada pergi ambil atau minta ia dihantar ke Malaysia.
“Setakat maklumat yang diterima, penemuan serpihan baharu di Madagascar ini adalah kecil. Namun saya sudah minta CAAM untuk sediakan laporan terperinci secepat mungkin,” katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/320501/dakwaan-konspirasi-kematian-houssenaly-bermotif-peribadi-tiong-lai