
Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun yang dipetik Oriental Daily berkata, beliau sudah mengarahkan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas memulakan siasatan berasingan, tetapi belum menemui sebarang unsur itu.
“Polis akan menyiasat kes ini dari pelbagai sudut, termasuk serangan keganasan. Tetapi, sehingga kini, belum ada bukti menunjukkan ia membabitkan serangan keganasan atau ia dimulakan organisasi keganasan,” katanya dipetik akhbar itu.
Lans Koperal Valentino anak Mesa, 29, yang sedang bertugas di kaunter pertanyaan Balai Polis Pinggiran USJ di Subang Jaya, ditemui maut dengan kesan tembakan dan tetakan senjata tajam, awal pagi tadi.
Pistol mangsa turut didapati hilang dari tempat kejadian, dipercayai dilarikan penjenayah.
Fuzi berkata, kes itu adalah satu bentuk provokasi terhadap pasukan polis, khasnya ia berlaku pada sambutan Hari Kebangsaan ke-60.
“Kes ini menyebabkan seluruh pasukan polis sangat sedih. Polis akan cuba sedaya upaya mencari pembunuh itu. Tiada orang boleh mencabar undang-undang.”
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu Oriental Daily, unitnya akan menggunakan maklumat daripada Jabatan Siasatan Jenayah untuk menjalankan siasatan berasingan.
Katanya, sekarang terlalu awal untuk mengatakan kes itu mempunyai unsur serangan keganasan.