
Katanya, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan boleh bertindak tidak memberikan geran tanah.
Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di Paya Indah Wetland di Dengkil hari ini, Wan Junaidi berkata, projek tambak laut seluas 1,800 hektar itu terlalu besar dan boleh mengubah pantai di kawasan itu.
Menurutnya, tambakan laut di Permatang Damar Laut bernilai RM46 bilion bagi membina 3 pulau buatan untuk tujuan pembangunan itu, hanya akan mewujudkan sebuah “tanah besar” dan pantai akan berubah menjadi sungai.
“Projek tambakan laut bukan sahaja akan menjejaskan alam sekitar, malah perhutanan seperti paya bakau, hidupan liar dan juga hidupan laut, apabila habitat pembiakan mereka akan terus binasa,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu lepas mengumumkan kerajaan persekutuan tidak akan menyokong projek tambakan laut di Pulau Pinang, sekiranya ia memberi kerugian besar sehingga menjejaskan punca pendapatan rakyat di kawasan terlibat.
Najib berkata, kerajaan persekutuan mempunyai pendirian dalam meluluskan sesuatu projek dan tidak akan menolak semata-mata atas dasar fahaman politik.
Pada majlis itu, Wan Junaidi turut menyaksikan penerimaan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebagai “largest collection of wildlife biomaterial”.
Beliau berkata, sejak 2006, Jabatan Perhilitan melalui Unit Perbankan Sumber Genetik Hidupan Liar (WGRB) secara aktif menjalankan aktiviti pengumpulan dan penyimpanan bahan biologic (biomaterial) hidupan liar.
“Sehingga kini, sejumlah 17,002 koleksi biomaterial daripada 386 spesies hidupan liar didaftarkan di dalam pangkalan data WGRB. Daripada jumlah itu, 9,144 diklasifikasi sebagai sumber rujukan utama yang diiktiraf MBOR,” katanya.
Wan Junaidi berkata, koleksi itu terdiri daripada pelbagai sampel hidupan liar, termasuk daging, darah, organ, rerambut, bulu pelepah, calitan mulut dan najis yang disimpan dalam kaedah kering, sejuk beku (dalam tiub cryo) dan kaedah basal (dalam etanol).
Beliau berkata, WGRB mengandungi maklumat lengkap bagi setiap spesimen yang boleh menjadi sumber rujukan utama (rekod), penyelidikan dan panduan di mahkamah, sekiranya terdapat kes melibatkan haiwan dan hidupan liar.