Tembak polis: 2 lagi lelaki ditahan

Tembak polis: 2 lagi lelaki ditahan

2 lagi suspek ditahan dalam siasatan ke atas pembunuhan Sub Inspektor Abu Hashim Ismail di Changlun 18 Ogos lepas.

mior-tembak
ALOR SETAR: Polis menahan 2 lagi suspek berhubung kes pembunuhan seorang pegawai rendah polis, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail dalam kejadian di Taman Sri Hosba, Changlun pada malam 18 Ogos lepas.

Penahanan 2 lelaki itu menjadikan kesemua yang ditahan untuk siasatan kini ialah sembilan orang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mior Farid Alathrash Wahid berkata, kedua-dua lelaki berusia 36 dan 37 tahun itu ditahan di sekitar Alor Setar dan Jitra petang semalam.

“Kedua-dua lelaki itu yang bekerja sendiri ditahan reman selama seminggu bermula hari ini sehingga 31 Ogos,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, tempoh tahanan reman seorang lelaki berusia 35 tahun yang merupakan rakan kepada Abu Hashim disambung 7 hari lagi bermula hari ini hingga 1 September.

Kesemua 9 lelaki ini direman bagi membantu siasatan terhadap kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Noor Farah Hazwani Osman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tujuh yang ditahan sebelum ini termasuklah rakan Abu Hashim yang dikenali sebagai “Raja Sempadan”.

Pada Jumaat lepas, Abu Hashim, 54, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, maut selepas ditembak di sebuah rumah seorang rakannya di Taman Sri Hosba.

Dalam kejadian pada 10.25 malam itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat terkena 4 daripada 6 das tembakan yang mengenai bahagian belakang badannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.