
Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata biro politik PKR membuat keputusan itu berdasarkan laporan lembaga disiplin parti yang mendapati Manickavasagam memfitnah pemimpin parti dalam satu ucapan di Kapar, Selangor April lalu.
Manickavasagam merupakan ahli majlis pimpinan pusat (MPP) dan ketua bahagian PKR Kuala Selangor.
“Manickavasagam mempunyai masa 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada MPP untuk pertimbangan pimpinan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Manickavasagam digantung kerana memfitnah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima wang RM300,000-RM400,000 daripada Oms Thiyagarajan kerana tidak mencalonkannya (sebagai calon Parlimen Kapar) berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh pejabat ketua setiausaha agung.
Surat itu berkata, Manickavasagam membuat ucapan berkenaan di sebuah kuil di Kapar pada 8 April.