KLIA catat 90 juta penumpang tahun lepas

KLIA catat 90 juta penumpang tahun lepas

Peningkatan itu ekoran Kuala Lumpur sebagai pusat transit terulung rantau ini.

Ab-Aziz-Kaprawi-klia-penumpang
JOHOR BAHRU: Jumlah penumpang menggunakan khidmat Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tahun lalu mencecah 90 juta orang, meningkat hampir 100% berbanding hanya 45 juta orang pada 2007.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata peningkatan itu berikutan kejayaan Malaysia menjadikan Kuala Lumpur pusat transit terulung di rantau ini.

Beliau juga menjangka angka itu terus meningkat pada masa depan susulan usaha membuat “pre-clearance” untuk jemaah haji negara di KLIA untuk ke Arab Saudi oleh kerajaan negara terbabit.

“‘Pre-clearance’ ini satu-satunya di dunia untuk ke Arab Saudi,” kata beliau kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Johor Bahru hari ini.

Ab Aziz berkata, mengambil kira kesesakan bakal dialami KLIA, kerajaan mempunyai perancangan memperluaskan lapangan terbang berkenaan selepas 2020.

Dalam perkembangan lain, Ab Aziz berkata Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang akan menjadikan KLIA pusat pengedaran dagangan dalam talian, akan mula beroperasi pada November ini.

“Ketika ini, ia dalam proses pembinaan dan dijangka membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) memasarkan produk mereka di peringkat global,” katanya.

DFTZ dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Mac lepas ketika lawatan jutawan Internet dari China, Jack Ma, yang juga Pengerusi Eksekutif Alibaba Group ke negara ini.

Zon itu bakal menggabungkan zon fizikal dan maya dengan perkhidmatan digital dan perkhidmatan dalam talian tambahan bagi memudahkan inovasi berasaskan Internet dan e-dagang antarabangsa.

DFTZ yang berpusat di KLIA Aeropolis akan menjadi pusat kargo udara dan logistik serta penerbangan, membabitkan syarikat Alibaba Group, Lazada dan POS Malaysia.

Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bermula bulan depan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.