Penyahindustrian bukan kejayaan, kata pakar ekonomi terkemuka

Penyahindustrian bukan kejayaan, kata pakar ekonomi terkemuka

Prof Jomo Kwame Sundaram juga berkata sesetengah projek China dijadikan alasan untuk memohon pinjaman yang akan ditanggung generasi akan datang.

jomo-forum-1
KUALA LUMPUR:
Seorang pakar ekonomi berkata penyahindustrian Malaysia secara pramatang sebenarnya bukan tanda kejayaan tetapi kegagalan dan mempertikaikan kebolehan negara untuk maju melalui kebergantungan kepada sektor perkhidnatan.

Bercakap di forum tentang pelaburan China, Prof Jomo Kwame Sundaram juga memberi amaran kawalan aliran modal China mungkin akan menjejaskan Malaysia.

Jomo berkata sebelum ini negara pernah mengalami 2 tempoh pertumbuhan ekonomi dan Malaysia sekarang ini perlukan pemangkin ekonomi.

“Pertama 1970-an, pertumbuhan ekonomi yang cepat dan laju tercapai terutamanya dengan usaha untuk percepatkan proses perindustrian.

“Menteri perdagangan ketika itu Dr Mahathir mungkin nampak apa yang berlaku di Jepun dan Korea Selatan dan memberikan ilham untuk majukan Malaysia,” katanya, dan menambah bekas perdana menteri itu mungkin nampak pencapaian Korea Selatan melalui projek perindustrian berat.

“Sehingga 1997, kami mendapati pertumbuhan ekonomi yang tinggi tercapai – 8% setahun – tetapi selepas krisis 1997-1998, kami mendapati pertumbuhan ekonomi lebih lembap dengan 5% setahun hingga sekarang.”

Jomo khuatir sektor perindustrian, yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia mengecut secara pramatang.

“Sektor perindustrian belum matang tapi telah mengecut. Mengapa kita mengalami penyahindustrian? Tetapi kata ini merupakan satu kejayaan – tanda-tanda ke arah menjadi negara maju.

“Jadi, kegagalan dikatakan kejayaan. Pada masa depan, adakah ekonomi kita dapat maju hanya dengan bergantung atas sektor perkhidmatan?”

Jomo menegaskan adalah penting untuk Malaysia mencari peluang pelaburan yang boleh mengerakkan ekonomi negara, yang patutnya datang daripada industri.

Namun, untuk menjayakannya Malaysia perlukan kemahiran yang lebih maju, dan untuk itu sistem perlukan pendidikan yang lebih baik.

Beliau menambah negara masih terpaksa mencari pelabur asing, dan termasuk pelaburan yang baik dari China, tetapi sesetengah itu adalah alasan untuk adakan projek dengan harapan dapat duit pinjaman.

“Ini bahaya besar sebab akhirnya beban hutang itu akan ditanggung oleh generasi akan datang. Memang ada hutang dari zaman dulu lagi, tapi sekarang bertambah dengan cepat sekali.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.