
Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir memberitahu panel 6 anggota itu, Murad membuat tuduhan serius dalam temu bual dengan media dikaitkan dengan Umno, selepas 25 tahun skandal mata wang asing (forex) itu berlaku.
Murad ditemu bual wartawan New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia pada 27 Januari lalu.
Dalam wawancara itu, Murad mendakwa BNM kerugian kira-kira AS$10 bilion, tetapi tiada agensi penguatkuasaan atau bank pusat itu yang menjalankan siasatan dalaman.
Haniff berkata, Murad tidak menyokong dakwaannya dengan sebarang dokumen sokongan, tetapi mendakwa beliau mendapat makluman mengenai kerugian itu melalui laporan pasaran asing antara 1992 hingga 1994.
“Bukankah beliau ketika memegang jawatan itu, patut mengambil langkah positif mencari bukti untuk (menyokong) tuduhannya, jika ia betul?” katanya.
Murad dilantik sebagai pengurus Jabatan Perbankan BNM pada April 1992, sebelum menjadi penasihat pada 1 April 1994.
Hanif memberitahu RCI yang Murad didapati bersalah kerana tidak mengisytiharkan asetnya bernilai kira-kira RM23 juta.
“Dia juga meletakkan Anwar dalam keadaan sukar dengan membuat tuduhan semberono melalui akuan berkanun,” katanya.
Haniff juga mendesak tribunal yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan memanggil semula Murad dan bekas pengurus akaun BNM, Abdul Aziz Abdul Manaf untuk menjawab soalan.
Katanya, Aziz memberi keterangan BNM kerugian RM31.5 bilion antara 1992 dan 1993, tanpa merujuk laporan tahunan BNM.
Peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Anwar berkata, NST didapati bertanggungjawab dan membayar Anwar RM100,000 sebagai ganti rugi kerana memfitnah akibat akaun berkanun Murad.
“Pendedahan mengejut itu mendatangkan masalah kepada NST,” katanya.
Pegawai pengendali, Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, kejadian di luar prosiding itu tidak boleh digunakan untuk mencemarkan nama baik Murad.
Skandal itu berlaku semasa era pentadbiran Dr Mahathir sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2013, manakala Anwar ialah menteri kewangan dari 1991 hingga 1998.
Tribunal itu belum membuat keputusan memanggil mereka, walaupun Haniff meminta keputusan dibuat hari ini.
Bekas penolong gabenor: Anwar arah sembunyi kerugian forex elak dipecat