Sukan SEA: Penyokong Malaysia pukul penyokong Myanmar di luar stadium

Sukan SEA: Penyokong Malaysia pukul penyokong Myanmar di luar stadium

Dua penyokong Myanmar yang berusia 29 dan 34 tahun itu cedera di muka serta badan akibat ditumbuk dan ditendang sekumpulan suspek kira-kira 11.50 malam Isnin.

Shafien-Mamat
PETALING JAYA: Dua penyokong bola sepak Myanmar cedera dipukul beberapa lelaki di tempat letak kenderaan Bazarena, dekat Stadium Shah Alam, selepas berakhirnya perlawanan Malaysia menentang negara itu dalam aksi Kumpulan A Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat mengesahkan 2 lelaki berusia 29 dan 34 tahun itu cedera di muka serta badan akibat ditumbuk dan ditendang kumpulan suspek itu kira-kira 11.50 malam Isnin.

“Mangsa merupakan kumpulan kecil yang terkeluar daripada kumpulan utama penyokong bola sepak Myanmar. Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut.

“Salah seorang mangsa menerima rawatan pesakit luar, manakala seorang lagi mangsa masih dirawat di hospital itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Malaysia menundukkan Myanmar 3-1 dalam saingan bola sepak lelaki Kumpulan A KL2017 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Malaysia akan bertemu Laos dalam aksi akhir Kumpulan A, di stadium sama, Rabu ini.

Shafien berkata, polis giat mengesan suspek terbabit dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi polis dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Selepas kalahkan Myanmar, Kim Swee gembira tetapi bimbang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.