
Pelari Singapura Soh Rui Yong mempertahankan pingat emas dengan catatan masa 2:29:27s manakala pingat perak menjadi milik pelari Indonesia Agus Prayogo dengan 2:31:20s. Muhaizar menamatkan perlumbaan dengan merekodkan 2:31:52s.
Pelari Malaysia itu yang merupakan anak jati Gurun, Kedah mendedikasikan kemenangannya kepada keluarga dan rakannya serta semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaannya.
“Saya hanya sempat berlatih selama sebulan dan saya menyasarkan untuk menyumbang pingat kepada negara. Alhamdulilah saya berjaya mencapainya dan terima kasih kepada isteri, anak dan ibu bapa saya yang sentiasa menyokong saya,” katanya kepada pemberita.
Ini merupakan pingat pertama untuk Malaysia dalam acara olahraga pada edisi ke-29 temasya dwitahunan ini yang berlangsung secara rasminya dari 19 hingga 30 Ogos.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam acara maraton pada Sukan SEA Singapura 1973 menerusi M. Solaimuthu dengan catatan masa 2:42:03s.
Muhaizar, yang mengatasi catatan masa peribadi terbaiknya 2:35:55s pada pertandingan hari ini, menaruh harapan rakan-rakan dalam kontinjen Malaysia akan terus menharumkan negara dalam temasya ini.
Dalam kategori wanita, pelari Filipina Mary Joy Tabal merangkul emas dengan catatan masa 2:48:26s mengatasi Hoang Thi Thanh daripada Vietnam merekodkan 2:55:43s dan pelari Thailand Natthaya Thanaronnawat dengan 2:58:17s.