
Bekas exco Pemuda PPBM Mohamad Taufik Abas yang mengajukan soalan peristiwa Memali kepada Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa minit sebelum kekecohan berlaku mempertikaikan tanggapan pelontar menyasarkan bekas perdana menteri itu, kerana pelontar perlu duduk di barisan depan jika mahu berbuat demikian.
“Saya dapat rasa kerusi itu melayang dekat dengan saya apabila tanya soalan itu. Bagaimana orang yang di tengah-tengah hadirin mahu melontarnya ke pentas?” katanya pada sidang media hari ini.
Taufik, 29, mengajukan soalan mengenai peristiwa 1985 yang mengorbankan 18 nyawa. Beliau orang kedua yang mendakwa menjadi sasaran pelontar kerusi itu.
Dua hari lepas, Ahli Jawatankuasa PPBM Shah Alam Wan Mohammad Ashraf Nasjaruddin berkata objek dilontar bagi menghalang dirinya mengajukan soalan sukar kepada Dr Mahathir.
“Kerusi itu ditujukan kepada saya, satu daripada kerusi itu terhempas di depan saya,” kata Ashraf yang membuat aduan polis tentang perkara itu.
Penganjur program terus-terang itu yang diadakan di Dewan Raja Muda Musa Ahad, Shah Alam berkata kerusi itu disasarkan kepada Dr Mahathir.
Polis setakat ini sudah menahan 13 individu sejak kejadian 13 Ogos itu. Pada Rabu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan memanggil juga penganjur forum kerana gagal memastikan keselamatan acara tersebut.